Selasa, 14 April 2020 | 2:35pm

COVID-19: Jumlah zon merah kekal, Seremban catat pertambahan kes mendadak

PUTRAJAYA: Jumlah zon merah bagi penularan COVID-19 kekal 26 tetapi Seremban merekodkan peningkatan mendadak sebanyak 41 kes positif menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 260 kes sejak 12 tengah hari semalam.

Menerusi infografik yang dikongsi oleh Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Kementerian Kesihatan (KKM), selain Seremban turut mencatatkan kes positif secara mendadak ialah daerah Hulu Langat sebanyak 419 kes berbanding 388 kes sebelum ini.

Bagi kawasan Lembah Pantai, daerah berkenaan kekal menjadi kawasan mempunyai kes tertinggi iaitu 515 kes dicatatkan berbanding sebelum ini 496 kes.

Negeri Selangor masih mencatatkan bilangan kes positif COVID-19 tertinggi iaitu 1,249 kes.

Dari sembilan daerah di Selangor, enam daripadanya sudah dikategorikan sebagai zon merah iaitu di Petaling (246 kes), diikuti Hulu Langat (419), Gombak (133), Klang (164), Sepang (66) dan Hulu Selangor sebanyak 45 kes.

Selain itu sebanyak dua daerah dikategorikan zon jingga iaitu Kuala Selangor sebanyak 33 kes dan Kuala Langat sebanyak 25 kes.

Bagi zon kuning pula ialah Sabak Bernam dengan 18 kes dicatatkan sehingga hari ini.

Di Kuala Lumpur, semua daerah di kawasannya sudah dikategorikan sebagai zon merah iaitu Cheras sebanyak 73 kes, Kepong (126), Titiwangsa (116) dan Lembah Pantai sebagai daerah tertinggi mencatatkan kes positif COVID-19.

Kes terendah dengan masing-masing merekodkan satu kes di sembilan daerah iaitu Baling, Padang Terap, Bandar Bahru dan Sik di Kedah; Raub di Pahang; serta Sri Aman, Matu, Mukah, dan Lawas di Sarawak.

Zon merah mewakili jumlah positif COVID-19 melebihi 41 kes, zon jingga (20-40 kes), zon kuning (1-19 kes) dan zon hijau tiada kes.

Antara kawasan yang menghampiri zon merah adalah Muar (40 kes) dan Kulai (37 kes) di Johor, Dungun di Terengganu (37 kes), Seberang Perai Tengah di Pulau Pinang (38 kes), Kota Kinabalu dan Lahad Datu di Sabah (39 kes).

Sehingga kini, Malaysia mencatatkan 4,817 kes COVID-19 dan 2,276 kes daripadanya atau 47.23 peratus daripadanya sudah sembuh dan dibenarkan pulang. Sehingga kini, sebanyak 77 kes kematian dicatatkan.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X