Ahad, 12 April 2020 | 2:28pm
Persatuan Penggunting Rambut Bumiputera Malaysia (MBBA)
Persatuan Penggunting Rambut Bumiputera Malaysia (MBBA)

COVID-19: Kedai gunting rambut kenakan prosedur ketat

KUALA LUMPUR: Pengusaha gunting rambut akan melaksanakan prosedur ketat yang digariskan kerajaan, jika dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Presiden Persatuan Penggunting Rambut Bumiputera Malaysia (MBBA), TN Winda Mohd Tahir, berkata pihaknya memberi jaminan tidak akan mengambil mudah aspek kesihatan dan keselamatan pelanggan serta penggunting rambut.

“Kami hormati apa jua keputusan kerajaan dan ketika ini, kami masih menunggu keputusan dan garis panduan daripada kerajaan.

“Namun, kami juga ada menggariskan beberapa panduan asas, antaranya setiap kedai gunting rambut perlu guna termometer untuk periksa suhu badan pelanggan, selain menyediakan cecair nyah kuman (hand sanitizer).

“Penggunting rambut dan pelanggan juga perlu memakai topeng muka dan rekodkan kehadiran setiap pelanggan. Mereka yang bergejala atau suhu badan tinggi tidak boleh dibenarkan masuk ke premis, selain jumlah pelanggan dalam kedai pada satu-satu masa dihadkan,” katanya kepada BH, hari ini.

TN Winda berkata, berdasarkan makluman daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN), operasi kedai gunting rambut akan dihadkan kepada hari dan waktu tertentu jika MITI mengekalkan keputusan membenarkan kedai gunting rambut beroperasi.

“Mengikut MKN, perkhidmatan gunting rambut hanya boleh beroperasi tiga hari seminggu iaitu Selasa, Khamis dan Sabtu, antara jam 10 pagi hingga 8 malam.

“Jika masih ada yang tak setuju, mungkin boleh hadkan sekali seminggu, atau penggunting rambut diberi kebenaran untuk gunting rambut penjawat awam serta mereka yang bekerja sewaktu PKP,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan bahawa beberapa sektor perkhidmatan tambahan akan dibenarkan beroperasi berikutan lanjutan tempoh PKP sehingga 28 April depan.

Susulan itu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengeluarkan senarai sektor perkhidmatan tambahan itu, termasuklah operasi kedai gunting rambut asas, yang mencetuskan kebimbangan penularan COVID-19 menerusi kewujudan ‘kluster gunting rambut’ .

Kebimbangan itu juga berdasarkan berita mengenai kematian seorang tukang gunting rambut di Amerika Syarikat akibat wabak itu, selain laporan kes kluster jangkitan COVID-19 di Fukuoka, Jepun, disyaki berpunca dari sebuah salon dandanan rambut.

Sehubungan itu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam memaklumkan MITI akan meneliti semua pandangan dan kebimbangan masyarakat berhubung keputusan membenarkan kedai gunting rambut beroperasi.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X