Rabu, 8 April 2020 | 8:34am

COVID-19: 'Ampun tuan, saya dah serik masuk lokap'

ALOR SETAR: “Minta ampun tuan, saya dah serik, tak mau masuk lokap,” rayu seorang lelaki yang ditahan kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di persimpangan lampu isyarat Taman Nuri, Jalan Datuk Kumbar di sini, malam tadi.

Dalam pemeriksaan pada jam 12 tengah malam itu, lelaki berusia 27 tahun itu dikatakan baru dua hari dibebaskan dengan jaminan mahkamah kerana melakukan kesalahan berkaitan dadah.

Ketika ditahan tengah malam tadi, lelaki itu memberi alasan baru pulang bekerja mengambil upah menjual buah, selain mahu pulang ke rumahnya di Kuala Nerang untuk melihat adik yang baru bersalin.

Lelaki yang mempunyai isteri dan seorang anak itu dikatakan turut meronta-ronta, merayu anggota polis melepaskannya ketika majikan datang ke lokasi melihat keadaannya.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin, berkata secara keseluruhan 11 individu, kesemuanya lelaki berusia 20 hingga 49 tahun ditahan kerana ingkar PKP malam tadi.

Beliau berkata, semalam adalah hari keempat anggotanya melakukan sekatan di lokasi sama, namun masih ada yang ingkar dan memberi pelbagai alasan untuk dilepaskan.

“Selain itu kita turut menahan dua lelaki berusia 32 dan 34 tahun kerana memiliki dadah.

“Selain itu, seorang individu yang ditahan juga memiliki empat rekod lampau iaitu dua kes jenayah dan dua kes dadah,” katanya di sini malam tadi.

Mohd Rozi berkata, operasi yang berakhir jam 2 pagi tadi turut disertai dua pegawai 11 anggota.

Beliau berkata, dua dari yang ditahan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar untuk tindakan lanjut.

“Kes mereka akan disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah.

“Bagaimanapun 11 yang ditahan kerana ingkar PKP akan disiasat mengikut Seksyen 270 Kanun Keseksaan Peraturan 11 (1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020,” katanya.

Mohd Rozi berkata, sejak 18 Mac sehingga semalam, sebanyak 189 kes direkodkan membabitkan tangkapan mereka yang ingkar dengan PKP.

Lelaki ditahan polis kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di persimpangan lampu isyarat Taman Nuri, Jalan Datuk Kumbar. - NSTP/Zuliaty Zulkiffli
Lelaki ditahan polis kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di persimpangan lampu isyarat Taman Nuri, Jalan Datuk Kumbar. - NSTP/Zuliaty Zulkiffli
Berita Harian X