Selasa, 7 April 2020 | 6:43pm

COVID-19: Kementerian Kesihatan rekod 69 kes sporadik

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mendedahkan 69 daripada 3,963 kes positif COVID-19 diklasifikasikan sebagai sporadik.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ia berikutan pihaknya masih gagal mengenal pasti punca jangkitan terhadap 69 kes terbabit.

Katanya, kes sporadik itu dikesan selepas KKM menjalankan saringan terhadap 8,025 pesakit penyakit seperti Influenza (ILI) dan Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI)

“Ia bagi mengesan sama ada kes terbabit ada di lapangan atau tidak.

“Setakat ini 69 kes positif, manakala 7,956 lagi negatif, selain jumlah kes sporadik ini tidak banyak,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, petugas kesihatan awam dan swasta dinasihatkan memakai peralatan perlindungan peribadi (PPE) apabila merawat pesakit penyakit seperti ILI dan SARI.

“Ada kes sporadik tetapi apabila kita lihat sejarah, ada kaitan sama ada dengan perhimpunan di Seri Petaling atau gereja dan sebagainya.

“Ini (jika mempunyai kaitan dengan kluster lain) bukan kes sporadik kerana kita dapat kesan mana asal usul jangkitan.

“Namun yang kita tak dapat kesan (punca jangkitan) ialah 69 kes ini. Kita tidak tahu macam mana dia boleh dapat jangkitan terbabit,” katanya.

Ditanya sama ada jenazah kes COVID-19 boleh dibawa pulang ke tanah air jika kematian berlaku di luar negara, Dr Noor Hisham berkata, waris perlu mematuhi peraturan disediakan KKM bagi urusan berkenaan.

Bagaimanapun katanya, setakat ini tiada kematian kes COVID-19 membabitkan warga Malaysia di luar negara.

“Kita tiada lagi kes kematian di luar negara yang (mahu) dibawa balik, tetapi kalau hendak dibawa balik kena ikuti peraturan di KKM mengenai proses dan sebagainya.

“Setakat ini tiada lagi (kematian warga tempatan di luar negara),” katanya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Berita Harian X