X
Ahad, 5 April 2020 | 4:36pm
Barisan Revolusi Nasional (BRN) mengumumkan tindakan gencatan senjata.
Barisan Revolusi Nasional (BRN) mengumumkan tindakan gencatan senjata.

COVID-19: BRN umum gencatan senjata

KUALA LUMPUR: Kumpulan bersenjata paling berpengaruh di selatan Thailand, Barisan Revolusi Nasional (BRN) mengumumkan tindakan gencatan senjata, khusus bagi menyediakan akses bantuan perubatan dan kemanusian kepada penduduk yang terjejas akibat COVID-19 di wilayah berkenaan.

Dalam kenyataan bertarikh 3 April lalu, kumpulan itu mengumumkan “langkah menghentikan semua aktivitinya” berkuat kuasa 3 April, selagi “BRN tidak diserang oleh petugas kerajaan Thailand”.

“Bagi mewujudkan persekitaran yang lebih sesuai dan selamat buat kaum Pattani mendapatkan bantuan agensi-agensi serta pertubuhan kesihatan yang diberi tanggungjawab menyekat penularan jangkitan COVID-19, BRN kini mengambil langkah menghentikan semua aktiviti,” menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pusat sekretariat kumpulan itu.

Menurut BRN, pandemik COVID-19 yang meragut beberapa nyawa di wilayah selatan adalah “musuh utama umat manusia” dan kumpulan itu mengulangi komitmennya untuk bekerjasama dalam membanteras penularan penyakit itu.

“Sebagai pelindung kepada Negara Pattani, BRN menyeru seluruh negara Pattani untuk berjuang bagi melindungi diri antara satu sama lain, dan keluarga masing-masing, semampu mungkin, dan berdoa kepada ilahi,” menurut kenyataan itu, dan menambah menjadi tanggungjawabnya untuk memelihara “negara kita dan pewarisnya” daripada dijangkiti virus itu.

Kumpulan itu berkata, kesusahan yang dihadapi penduduk di Pattani, diburukkan lagi dengan operasi ketenteraan, yang tidak “berperikemanusiaan”.

Pihak berkuasa pusat pentadbiran COVID-19 Thailand sebelum ini melaporkan 20 rakyat Thailand meninggal dunia akibat virus itu dan menjangkiti 2,067 orang.

Jumaat lalu, Perdana Menteri Thailad, Jen Prayut Chan-o-cha mengumumkan perintah berkurung di seluruh negara dari jam 10 malam hingga 4.00 pagi dalam usaha menyekat penularan jangkitan virus itu.

Sebagai kumpulan bersenjata yang paling bepengaruh di selatan Thailand, BRN dipersalahkan oleh pihak berkuasa Thailand terhadap kebanyakan konflik bersenjata yang berkaitan keganasan di wilayah selatan negara itu.

Malaysia tampil sebagai fasilitator dialog perdamaian antara BRN dan Thailand yang diadakan di Kuala Lumpur pada Januari dan Mac lalu, dalam usaha membawa keamanan kepada wilayah bergolak Pattani, Yala, Narathiwat dan Songkla.

Konflik bersenjata di selatan Thailand yang bersempadan dengan utara Malaysia berlaku sejak tahun 2004 lagi, meragut lebih 7,000 nyawa. – BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X