Jumaat, 3 April 2020 | 12:23pm
MPKN menyumbangkan set pelindung muka bagi membantu usaha petugas barisan hadapan mengekang penularan COVID-19. - NSTP/ESSA ABU YAMIN
MPKN menyumbangkan set pelindung muka bagi membantu usaha petugas barisan hadapan mengekang penularan COVID-19. - NSTP/ESSA ABU YAMIN

COVID-19: MPKN sumbang 25,036 set pelindung muka

BATU PAHAT: Majlis Pengakap Kelana Negara (MPKN) telah menyumbangkan sebanyak 25,036 set pelindung muka kepada petugas barisan hadapan di seluruh negara sejak akhir bulan lalu.

Timbalan Pengerusi MPKN, Izzat Haziq Rahmad, berkata inisiatif itu bertujuan membantu usaha petugas barisan hadapan mengekang penularan wabak COVID-19 di Malaysia.

“Inisiatif berkenaan adalah satu program anjuran bersama MPKN dan Majlis Belia Malaysia (MBM).

“Program itu dinamakan ‘Rovers Face Shield Heroes’ di mana semua ahli Pengakap Kelana yang berkelapangan bersama-sama mencurah khidmat menghasilkan pelindung muka berkenaan.

“Hasil projek terbabit yang bermula 25 Mac lalu hingga semalam, kami berjaya mengagihkan 25,036 set pelindung muka kepada petugas barisan hadapan di seluruh negara.

“Selepas pelindung muka berkenaan siap, setiap wakil ketua dan ahli Pengakap Kelana di negeri masing-masing mengagihkannya mengikut kawasan sasaran petugas barisan hadapan di seluruh negara,” katanya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, semua bahan asas bagi menyediakan pelindung muka terbabit dibeli menggunakan sumbangan ahli Pengakap Kelana dan orang awam, selain beberapa syarikat yang menghulurkan tajaan.

“Pihak kami akan terus menyiapkan lebih banyak pelindung muka selagi memperoleh sumbangan dana daripada pelbagai pihak, termasuk orang perseorangan, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Program ini secara tidak langsung membuka mata pihak badan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam untuk turut serta membantu pihak kerajaan, khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), bagi menangani wabak COVID-19,” katanya.

Beliau memaklumkan, mana-mana pihak yang ingin memberi sumbangan bagi tujuan itu boleh menghubunginya melalui talian 017-7703050.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X