Khamis, 2 April 2020 | 12:59pm
Pemandangan dari udara keadaan Kampung Datuk Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Datuk Ibrahim Majid yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Di perketatkan (PKPD) berikutan penularan wabak COVID-19. - Foto NSTP/Fathil Asri
Pemandangan dari udara keadaan Kampung Datuk Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Datuk Ibrahim Majid yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Di perketatkan (PKPD) berikutan penularan wabak COVID-19. - Foto NSTP/Fathil Asri

COVID-19: 1,501 sampel penduduk Simpang Renggam sudah diambil

KLUANG: Sebanyak 1,501 sampel penduduk kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Simpang Renggam, sudah diambil sehingga semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap, Abd Taib Abu Bakar, berkata beliau dimaklumkan kesemua sampel berkenaan diambil di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Datuk Ibrahim Majid.

“Saya dimaklumkan pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) bahawa sebanyak 1,501 sampel penduduk terjejas PKPD di Simpang Renggam sudah diambil.

“Sampel lebih 2,000 penduduk lagi difahamkan akan diambil secara berperingkat setiap hari sehingga selesai,” katanya ketika dihubungi.

Pada 26 Mac lalu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan, dua kawasan penduduk di Simpang Renggam, Johor menjadi lokasi pertama dikenakan PKPD mulai tengah malam selepas 61 penduduknya dikesan positif COVID-19.

Dua kawasan itu membabitkan Kampung Datuk Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Datuk Ibrahim Majid di Simpang Renggam, di sini.

Perintah PKPD dianggarkan membabitkan lebih 3,570 orang penduduk tempatan terdiri daripada hampir 700 keluarga di dua kampung berkenaan.

Mengulas lanjut mengenai pengagihan keperluan makanan kepada penduduk terjejas di situ, Abd Taib berkata, pengagihan berjalan lancar dengan seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR).

“Penduduk terjejas juga memaklumkan mereka berpuas hati dengan pengagihan makanan yang dilakukan setakat ini berbanding pada hari-hari awal PKPD berlangsung.

“Namun sekarang petugas pengagihan sudah memahami kawasan terjejas dan tiada penduduk yang tertinggal.

“Bagi keperluan khas penduduk yang lain seperti susu bayi dan lampin pakai buang, Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) turut memberikan bantuan produk berkenaan.

“Namun syarikat korporat yang berminat boleh tampil memberi bantuan produk keperluan selain makanan asas termasuk lampin pakai buang, susu bayi, tuala wanita, santan atau apa sahaja yang boleh diserahkan kepada MDSR,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Abd Taib berkata, bagi penduduk terjejas yang tidak sihat pula mereka boleh menjalani pemeriksaan di Klinik Desa di kawasan mereka.

“Klinik Desa berkenaan kini diambil alih Anggota Tentera Malaysia (ATM) yang mengendalikannya termasuk melakukan pemeriksaan kesihatan kepada penduduk terjejas, ” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X