Rabu, 1 April 2020 | 7:49am
ARAB Saudi mahu umat Islam menangguhkan rancangan untuk menunaikan haji tahun ini berikutan wabak COVID-19 . - Foto AFP
ARAB Saudi mahu umat Islam menangguhkan rancangan untuk menunaikan haji tahun ini berikutan wabak COVID-19 . - Foto AFP

COVID-19: Tangguh dulu rancangan kerja haji

RIYADH: Arab Saudi menggesa umat Islam untuk menangguhkan rancangan untuk menunaikan haji sehingga wabak COVID-19 dapat dikawal.

Menteri Haji dan Umrah, Mohammed Saleh Benten, berkata Arab Saudi bersedia menerima jemaah haji dan umrah namun dalam keadaan dunia berdepan wabak COVID-19, kerajaan mahu melindungi kesihatan umat Islam.

“Oleh itu, kita meminta umat Islam di semua negara untuk menunggu sebelum melakukan haji sehingga keadaannya jelas,” katanya kepada stesen televisyen Al-Ekhbariya di negara itu.

Selain menangguhkan haji dan umrah, Arab Saudi juga menghentikan semua penerbangan antarabangsa dan menyekat masuk dan serta keluar pergerakan ke beberapa bandar raya, termasuk Makkah dan Madinah.

Bulan lepas, Arab Saudi menghentikan kemasukan jemaah umrah untuk sepanjang tahun ekoran kebimbangan terhadap penularan COVID-19.

Kira-kira 2.5 juta jemaah haji dari seluruh dunia biasanya berkumpul di Makkah dan Madinah untuk ibadat yang dijadualkan bermula pada akhir bulan Julai. - AFP


  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X