Isnin, 23 March 2020 | 10:36pm
Kementerian Pengangkutan mengekalkan keputusan menutup kaunter pembaharuan lesen memandu kompeten (CDL) dan lesen kenderaan motor (LKM) yang dikuat kuasa mulai 20 Mac lalu sehingga 31 Mac ini. - Arkib NSTP
Kementerian Pengangkutan mengekalkan keputusan menutup kaunter pembaharuan lesen memandu kompeten (CDL) dan lesen kenderaan motor (LKM) yang dikuat kuasa mulai 20 Mac lalu sehingga 31 Mac ini. - Arkib NSTP

COVID-19: Kementerian Pengangkutan kekal tutup kaunter perbaharui lesen

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan mengekalkan keputusan menutup kaunter pembaharuan lesen memandu kompeten (CDL) dan lesen kenderaan motor (LKM) yang dikuat kuasa mulai 20 Mac lalu sehingga 31 Mac ini.

Dalam kenyataan hari ini, kementerian menjelaskan keputusan itu dibuat selepas mendapati kehadiran ramai orang ke kaunter jabatan dan agensi sehingga tidak selari dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sehubungan itu, kementerian menegaskan semua perkhidmatan kaunter jabatan dan agensi di bawah MOT iaitu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah dan LPKP Sarawak termasuk di Pejabat Pos ditutup sepenuhnya.

“Selain mengambil kira kesihatan awam dan kakitangan yang berada di barisan hadapan, keputusan ini juga dibuat sejurus melihat kehadiran orang ramai ke kaunter jabatan dan agensi yang tidak dapat dikawal serta tidak selari dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang bertujuan mengelakkan orang ramai daripada berhimpun.

“Justeru, pihak kementerian bersetuju untuk kekal dengan keputusan yang dibuat demi kepentingan semua pihak,” menurut kementerian itu.

Bagi urusan pembaharuan CDL dan LKM, menurut kementerian, semua proses pembaharuan hanya boleh dilaksanakan secara dalam talian sepanjang tempoh PKP.

Menurut kementerian, perkhidmatan berkenaan boleh dibuat menerusi portal MySikap JPJ atau MyEG (hanya untuk perbaharui LKM).

Bagi yang tidak memiliki public atau portal ID bagi mengakses portal MySikap JPJ, kementerian meminta orang ramai melaksanakan urusan pembaharuan menerusi portal MyEG.

“Orang ramai yang telah memperbaharui CDL atau LKM menerusi kedua-dua portal sepanjang tempoh PKP ini tidak perlu hadir ke kaunter untuk mendapatkan lesen memandu atau pelekat LKM secara fizikal.

“Sebaliknya, bukti pembayaran fi CDL atau LKM menerusi portal sudah memadai untuk digunakan sebagai bukti.

“Oleh yang demikian, orang ramai diminta untuk tidak tergesa-gesa atau resah bagi mendapatkan lesen memandu atau pelekat LKM yang telah diperbaharui,” katanya.

Menurut kementerian, kebenaran itu hanya untuk kegunaan di sepanjang tempoh PKP sebaik sahaja perintah itu ditarik semula.

Menyedari kekhuatiran orang ramai, kementerian turut mengadakan konsultasi dan perbincangan bersama Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) dan Takaful baru-baru ini.

Seperti ketetapan undang-undang, menurut kementerian, semua pemilik kenderaan harus memastikan kenderaan mereka mempunyai perlindungan insurans yang sah sepanjang tempoh PKP.

“Justeru itu, pembaharuan perlindungan insurans untuk kenderaan boleh dilaksanana secara dalam talian menerusi portal syarikat insurans berkaitan,” kata kenyataan itu.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X