Isnin, 23 March 2020 | 10:36pm
Timbalan Pengarah Bahagian Keselamatan dan Pengawasan Maritim, Maritim Malaysia, Laksamana Pertama Maritim Che Engku Suhaimi Che Engku Daik (kiri) mendengar penerangan Penyelamat Perenang Bintara Muda Maritim, Mohd Mustazary Ali Musa (tengah) sebelum melakukan pemantauan kawalan udara di sekitar Pantai Morib, Sepang hari ini. - FOTO BERNAMA

COVID-19: Degil berekreasi, tak endah PKP

SEPANG: Masih terdapat bot-bot rekreasi yang berdegil membawa pemancing melakukan aktiviti memancing di sekitar perairan Selat Melaka dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Timbalan Pengarah Bahagian Keselamatan dan Pengawasan Maritim, Laksamana Pertama Maritim Che Engku Suhaimi Che Engku Daik, berkata perkara itu tidak seharusnya berlaku dan komuniti laut seharusnya akur dengan PKP yang diumum oleh kerajaan sebagai langkah mencegah jangkitan COVID-19.

Mendedahkan perkara itu, Che Engku Suhaimi berkata, hanya komuniti nelayan yang berlesen dibenarkan untuk ke laut, manakala yang selebihnya seperti kegiatan menjala ikan dan mengutip kupang secara berkumpulan ketika air laut sedang surut, tidak dibenarkan.

“Saya dapat melihat kegiatan sedemikian (memancing, menjala dan mengutip kupang) berlaku di sekitar pesisir pantai perairan Pantai Morib, Pantai Sepang dan Port Dickson di Negeri Sembilan.

“Mereka keluar beramai-ramai termasuk membawa anak kecil sekali pergi mengutip kupang di pesisiran pantai,” katanya kepada BERNAMA ketika membuat tinjauan udara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam melaksanakan PKP, di sini, hari ini.

Sekumpulan individu turut membawa kanak-kanak dipercayai menjala ikan dan mengutip kupang ketika pemantauan kawalan udara Maritim Malaysia di sekitar Pantai Morib, Sepang hari ini. - FOTO BERNAMA
Sekumpulan individu turut membawa kanak-kanak dipercayai menjala ikan dan mengutip kupang ketika pemantauan kawalan udara Maritim Malaysia di sekitar Pantai Morib, Sepang hari ini. - FOTO BERNAMA

Pada 16 Mac lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddn Yassin mengumumkan pelaksanaan PKP bermula 18 hingga 31 Mac di seluruh negara bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Sementara itu, Che Engku Suhaimi, berkata Maritim Malaysia terpaksa menggunakan pembesar suara dengan memberi peringatan dan menyuruh mereka pulang ke rumah.

“Alhamdulillah, mereka memberi kerjasama yang baik dan rondaan pemantauan PKP di perairan seluruh negara perlu dilakukan dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata, mana-mana perkhidmatan bot kurang penting (non-essential services boat) yang keluar ke laut, boleh diambil tindakan kerana melanggar PKP.

“Oleh yang demikian, pihak kami akan mempertingkatkan rondaan setiap hari bagi memantau mereka yang tidak terbabit dengan ‘essential services’ ini,” katanya.

Sementara itu, Bernama yang menyertai tinjauan udara Maritim Malaysia hari ini mendapati keadaan perairan khususnya Selat Melaka, terkawal.

Bagaimanapun, masih terdapat segelintir mereka yang tidak mengendahkan PKP, masih melakukan aktiviti secara berkumpulan dan memancing di laut. – BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X