Isnin, 23 March 2020 | 6:07pm

COVID-19: Empat kematian baharu direkod hari ini

PUTRAJAYA: Malaysia mencatatkan pertambahan empat kes kematian baharu berkaitan COVID-19 setakat jam 12 tengah hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ia sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di negara ini adalah 14 kes.

“Kes kematian ke-11 adalah kes ke-1,070 iaitu lelaki berumur 70 tahun warga tempatan. Beliau mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara dan dirawat di ICU Hospital Canselor Tuanku Muhriz dan disahkan meninggal dunia 22 Mac lalu (semalam),” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kes kematian ke-12 pula ialah kes ke-1,114 iaitu lelaki berumur 70 tahun yang juga warga tempatan.

“Beliau ialah jemaah tabligh yang menghadiri perhimpunan di Masjid Jamek Seri Petaling dan dirawat di Hospital Kluang. Beliau disahkan meninggal dunia pada hari ini.

“Kes kematian ke-13 adalah kes ke-1,006 ialah lelaki berumur 49 tahun warganegara Malaysia. Beliau yang dirawat di Hospital Umum Sarawak adalah anak kepada kes ke-1,031. Beliau disahkan meninggal dunia pada hari ini,” katanya.

Beliau berkata, kes kematian ke-14 pula ialah kes ke-595 iaitu wanita berusia 51 tahun warga Malaysia.

“Mangsa adalah kontak rapat dengan kes positif COVID-19 dari kluster tabligh dan dirawat di Hospital Miri sebelum disahkan meninggal dunia hari ini,” katanya.


  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Noor Hisham pada sidang media berhubung situasi semasa jangkitan COVID-19 di Putrajaya. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
    Noor Hisham pada sidang media berhubung situasi semasa jangkitan COVID-19 di Putrajaya. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
    Berita Harian X