Isnin, 23 March 2020 | 2:53pm

Operasi mencari dua pencari emas tertimbus ditamatkan

GURUN: Mayat dua pemburu emas yang tertimbus dalam runtuhan tanah di kaki Gunung Jerai di sini, tengah hari tadi ditemukan pada kedalaman hampir 15 meter.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon, berkata mayat pertama ditemui jam 10.49 pagi dan berjaya dibawa keluar jam 11.36 pagi.

“Mayat kedua ditemui jam 12.53 tengah hari sebelum mayatnya dikeluarkan pada jam 1.01 tengah hari,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Katanya, pihaknya berhadapan kesukaran mengeluarkan mangsa kedua selepas ia ditemui pada kedudukan agak dalam, iaitu pada kedudukan kira-kira dua meter daripada mangsa pertama dikesan.

“Mayat pertama, iaitu mangsa berusia 52 tahun ditemui pada jam 10.49 pagi di kawasan yang lebih tinggi, manakala mangsa kedua berusia 68 tahun pada kedudukan ke dalam tanah.

“Operasi mencari kedua-dua mangsa berjalan lancar selepas kami mendapat bantuan anjing pengesan, selain terdapat koordinasi baik semua pihak terbabit,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang semalam, dua penduduk tempatan, Roslan Saidin, 52, dan Md Noor Shaari, 68, dilaporkan tertimbus ketika sedang mencari emas di kawasan berkenaan.

Sayani berkata, berikutan penemuan kedua-dua mangsa, operasi menyelamat ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.15 tengah hari dan mayat diserah kepada polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, berkata pihaknya meminta bantuan bomba menimbus semula kawasan operasi bagi mengelak ia disalah guna pihak lain.

Katanya, orang ramai tidak dibenarkan melakukan sebarang aktiviti menggali di lokasi berkenaan dan polis akan memantau kawasan kaki gunung.

“Sebarang kegiatan penjarahan harta warisan perlulah mendapat kelulusan Jabatan Warisan Negara, walaupun kegiatan itu dilakukan di tanah persendirian atau tanah kerajaan.

“Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.

Mayat mangsa kedua yang ditemui tertimbus dalam runtuhan tanah di kaki Gunung Jerai. Dua orang mangsa terbabit tertimbus di percayai sedang mencari emas di kawasan kaki Gunung Jerai. - Foto NSTP/Amran Hamid
Mayat mangsa kedua yang ditemui tertimbus dalam runtuhan tanah di kaki Gunung Jerai. Dua orang mangsa terbabit tertimbus di percayai sedang mencari emas di kawasan kaki Gunung Jerai. - Foto NSTP/Amran Hamid
Berita Harian X