Sabtu, 21 March 2020 | 6:51pm
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah

COVID-19: 'Laporan polis jika bohongi kakitangan perubatan'

PUTRAJAYA: Laporan polis dan tindakan undang-undang boleh diambil terhadap individu yang gagal mendedahkan latar belakang kesihatan dan perjalanan kepada kakitangan perubatan sebelum menjalani saringan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ia berikutan ada beberapa kes membabitkan pesakit yang hanya mendedahkan mempunyai kaitan dengan jemaah positif COVID-19 selepas menjalani saringan di hospital atau klinik kesihatan.

Apabila didapati positif, pihaknya terpaksa menutup wad, bilik bedah, menjalankan pembersihan manakala kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) perlu dikenal pasti dan disaring, selain perlu dikuarantin jika didapati negatif.

Justeru, katanya, adalah tidak adil bagi kakitangan KKM didedahkan kepada risiko berkenaan.

“Jika ia berlaku, kakitangan kami akan membuat laporan polis kerana tidak mendedahkan maklumat. Ia maklumat penting dan kadang kala anda menjangkiti kami.

“Saya rasa ia adalah penting seperti contohnya anda tidak mendedahkan perjalanan ke lima negara (yang ada wabak COVID-19) atau ke luar negara atau anda tidak mendedahkan berkait kumpulan tabligh.

“Semua ini maklumat penting. Jika anda maklumkan, kami akan memastikan pegawai dilindungi sebelum memeriksa anda,” katanya pada sidang media harian di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, seramai 19 kakitangan KKM dan lima petugas daripada fasiliti kesihatan swasta disahkan dijangkiti COVID-19 setakat hari ini.

Katanya, dua daripada 19 kakitangan KKM itu kini dirawat di Unit Kawalan Rapi (ICU).

“Punca jangkitan semua 19 anggota kesihatan KKM terbabit bukan disebabkan ketidakpatuhan ketika mengendalikan kes COVID-19 di peringkat fasiliti masing-masing.

“Sebaliknya, siasatan mendapati mereka adalah kontak rapat generasi pertama dan kedua membabitkan kluster jemaah tabligh,” katanya.

Sehingga 14 Mac lalu, Dr Noor Hisham berkata, seramai 337 anggota KKM menjalani ujian saringan pengesanan COVID-19 dan daripada jumlah itu, seramai 251 didapati negatif manakala baki 86 masih menunggu keputusan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, mana-mana pihak yang didapati mendedahkan maklumat pesakit positif COVID-19 boleh dikenakan tindakan undang-undang, melainkan ia didedahkan sendiri oleh individu berkenaan.

Katanya, hanya pesakit berhak berbuat demikian seperti dilakukan kes ke-26 dan ke-33 sebelum ini.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X