Khamis, 19 March 2020 | 1:09pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Kilang selenggara mesin dan jentera punca empat LRA henti tugas

SHAH ALAM: Pencemaran bau yang menyebabkan empat Loji Rawatan Air (LRA) di Selangor terpaksa dihenti tugas pada malam Selasa lalu, berpunca daripada sebuah kilang menyelenggara mesin dan jentera di Taman Industri Integrasi Rawang.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dalam satu kenyataan memaklumkan, siasatan awal bersama AIR Selangor menemukan bau yang seakan-akan pelarut (solvent) daripada kawasan Perindustrian Kecil Sungai Bakau di Sungai Gong, Rawang.

“Bagaimanapun, hasil siasatan secara menyeluruh LUAS bersama pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS), Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Unit Pengurusan Bencana (UPBN) Selangor dan Air Selangor di Taman Industri Integrasi Rawang, mendapati pencemaran bau itu berpunca daripada sebuah kilang menyelenggara mesin dan jentera.

“Kita menemui sisa minyak di aliran pelepasan akhir dari kilang itu yang akan mengalir masuk ke ‘sump’ longkang dan seterusnya ke Sungai Gong.

“Premis itu juga gagal menjalankan penstoran sisa minyak yang membabitkan buangan terjadual mengikut syarat ditetapkan di kawasan premis terbabit,” katanya.

Kenyataan itu memaklumkan, LUAS sudah menjalankan pensampelan minyak dan gris serta ‘screening hydrocarbon’ di titik pelepasan akhir premis serta Sungai Gong dan susulan surat arahan mengikut Seksyen 121(1), Enakmen LUAS 1999 kepada premis untuk tindakan pembersihan segera.

Jelasnya, tindakan penguatkuasaan JAS termasuk pengeluaran kompaun bagi kesalahan-kesalahan yang melibatkan pengurusan buangan terjadual tertakluk dalam Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 turut diambil.

“Pihak MPS pula mengambil tindakan dengan menyita premis tersebut manakala LUAS meletakkan Karbon Aktif (AC) di Sungai Gong berhampiran premis untuk mengawal pencemaran bau sekitar satu ton.

“Pemantauan rapi dari semasa ke semasa akan dilakukan LUAS bersama agensi berkaitan bagi memastikan tiada henti tugas loji selain tidak menjejaskan bekalan air kepada pengguna,” katanya.

Terdahulu, pada Selasa lalu empat LRA iaitu Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), Fasa 2 (SSP2), Fasa 3 (SSP3) dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas pada jam 7 malam susulan pencemaran bau yang dikesan pada sumber air mentah di Sungai Selangor.

Bagaimanapun, LRA berkenaan kembali beroperasi sekitar jam 10.30 malam, hari yang sama.

Berita Harian X