Sabtu, 14 March 2020 | 3:51pm

Semua penuntut Malaysia di AS selamat - Kedutaan

KUALA LUMPUR: Tiada pelajar Malaysia di Amerika Syarikat (AS) dilaporkan dijangkiti novel koronavirus (COVID-19).

Kedutaan Malaysia di Washington dalam satu kenyataan melalui e-mel kepada BERNAMA berkata, dua penuntut Malaysia di AS mengkuarantin diri sebagai langkah pencegahan, selepas rakan di fakulti mereka disahkan dijangkiti COVID-19.

Kenyataan itu menyebut Pendidikan Malaysia (EM), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) di Washington telah menghubungi penuntut Malaysia dan memberi nasihat serta panduan bergantung kepada lokasi keberadaan.

“Mereka juga dinasihatkan mematuhi langkah pencegahan dan cadangan yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan.

“Selain itu, EM bekerja rapat dengan Perhimpunan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Amerika (NAMSA) untuk memantau penuntut dengan memberi bantuan serta nasihat yang perlu,” jelas kenyataan itu.

EM berkata, beberapa penuntut telah menghubungi pihak itu berhubung isu penginapan dan memaklumkan buat masa ini mereka memilih untuk tinggal bersama rakan (di luar kampus).

Seramai 7,709 pelajar Malaysia menuntut di AS termasuk 260 orang yang ditaja JPA dan 57 pelajar tajaan MARA.

Mengulas lanjut, kedutaan itu berkata, pelajar dinasihatkan menangguhkan atau membatalkan aktiviti serta perjalanan tidak penting.

Penuntut tajaan JPA perlu mendapat kelulusan rasmi ibu pejabat JPA sebelum melancong ke luar negara.

“Mereka perlu memaklumkan JPA sebarang perjalanan yang dibuat di dalam negara bagi membolehkan JPA memantau rapat pergerakan dan kesejahteraan penuntut.

“Di samping itu, pelajar perlu memaklumkan kepada pihak penaja jika tidak sihat dan mendapatkan bantuan perubatan dengan segera,” katanya.

Kenyataan itu berkata, banyak institusi pendidikan di AS menjalankan pembelajaran secara dalam talian untuk meminimumkan interaksi fizikal dan pelajar dinasihatkan mengambil langkah pencegahan serta mengikuti arahan pihak universiti masing-masing.

Sebelum ini, Presiden Donald Trump mengisytiharkan darurat di AS, selepas negara itu mencatatkan lebih 1,600 kes termasuk 47 kematian. – BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X