Khamis, 5 March 2020 | 3:28pm
Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad (dua dari kiri) bersama ADUN Pemanis, Dr Chong Fat Full (dua dari kanan) bergambar dengan ADUN Gabungan Baharu yang akan membentuk Kerajaan Johor yang baharu selepas sidang media, di Pejabat Menteri Besar, Iskandar Puteri, semalam. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin
Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad (dua dari kiri) bersama ADUN Pemanis, Dr Chong Fat Full (dua dari kanan) bergambar dengan ADUN Gabungan Baharu yang akan membentuk Kerajaan Johor yang baharu selepas sidang media, di Pejabat Menteri Besar, Iskandar Puteri, semalam. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin

PKR Johor mulakan tindakan undang-undang terhadap Dr Chong

JOHOR BAHRU : PKR Johor akan memulakan tindakan undang-undang untuk menuntut RM10 juta daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pemanis, Dr Chong Fat Full yang mengumumkan keluar parti untuk menjadi ADUN Bebas.

Timbalan Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tsee berkata pihaknya akan merujuk perkara itu kepada kepimpinan pusat bagi mengambil tindakan berdasarkan undang-undang.

Katanya setiap calon PKR yang bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu menandatangani satu surat kontrak yang mana sekiranya menang dan kemudian keluar parti, mereka akan membayar ganti rugi RM10 juta.

“Saya sudah maklumkan dalam PKR, sebelum dapat watikah untuk jadi calon, kita semua (ahli) diperlukan tandatangan surat kontrak.

“Dalam surat itu, sesiapa yang menang dan bertindak keluar parti dia perlu bayar ganti rugi RM10 juta.

“Saya ada tandatangan surat itu dan saya juga yakin Dr Chong pun ada tandatangan juga. Saya akan rujuk pada (PKR) pusat mengenai perkara ini, sekiranya betul kita tunggu lampu hijau dan akan ambil tindakan.

“Kita tidak akan jumpa Dr Chong lagi kerana dia pun cakap berbelit-belit,” katanya pada sidang media di Pusat Khidmat ADUN Kota Iskandar, di sini, hari ini.

Semalam, Dr Chong dalam sidang akhbar khas yang dipengerusikan Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad mengumumkan keluar parti dan menjadi calon Bebas.

Dr Chong juga mengumumkan menyokong gabungan baharu kerajaan Johor yang terdiri daripada Barisan Nasional (BN), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan PAS.

Berita Harian X