Khamis, 5 March 2020 | 2:52pm
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin beramah mesra bersama pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ketika mengadakan lawatan mengejut ke Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya hari ini. Foto BERNAMA
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin beramah mesra bersama pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ketika mengadakan lawatan mengejut ke Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya hari ini. Foto BERNAMA

Keputusan SPM lebih baik bukti usaha KPM berhasil - PM

PUTRAJAYA: Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 yang lebih baik berbanding sebelumnya menunjukkan inisiatif Kementerian Pendidikan (KPM) kini menampakkan hasil, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata, ia memberi petunjuk bahawa peluasan dan keberkesanan sistem pendidikan serta dasar yang diamalkan berjaya memberi peluang pendidikan berkualiti kepada semua lapisan masyarakat.

Katanya, KPM sentiasa berusaha meningkatkan kualiti sistem pendidikan negara dan ia dibuktikan melalui keputusan SPM 2019.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua calon SPM yang menerima keputusan hari ini.

“Saya amat berbangga memaklumkan bahawa pencapaian calon bagi 2019 adalah lebih baik berbanding 2018. Saya dimaklumkan bahawa Gred Purata Nasional (GPN) 2019 adalah 4.86 berbanding 4.89 pada 2018 iaitu perbezaan sebanyak 0.03.

“Nilai GPN yang lebih kecil menunjukkan pencapaian yang lebih baik. Alhamdulillah, saya juga dimaklumkan bahawa pada 2019 peratus calon yang layak menerima sijil SPM meningkat berbanding pada 2018.

“Selain itu, daripada 1,402 Calon Berkeperluan Khas (CBK) yang menduduki peperiksaan SPM pada 2019, seramai 860 calon layak dianugerahkan sijil SPM,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Muhyiddin mengadakan lawatan rasmi pertamanya sebagai Perdana Menteri, di Sekolah Sultan Alam Shah (SAS), di sini, pagi tadi.

Muhyiddin berkata, keputusan yang diperoleh itu sudah semestinya membanggakan seluruh ahli keluarga, guru-guru dan masyarakat.

“Sekalung tahniah saya ucapkan kepada semua ibu bapa atas kecemerlangan anak-anak. Sesungguhnya dorongan ahli keluarga memainkan peranan penting bagi melonjakkan prestasi murid.

“Kejayaan seorang murid juga amat berkait rapat dengan kesungguhan dan kegigihan guru-guru mendidik murid.

“Terima kasih cikgu. Tanpa pengorbanan guru, pencapaian cemerlang dan memberangsangkan ini tidak akan menjadi kenyataan,” katanya.

Pada masa sama, Muhyiddin berkata, mereka yang kurang berjaya diharap tidak berputus asa dengan keputusan yang diperoleh hari ini.

Katanya, beliau percaya jika disuntik semangat dan disokong usaha kental membimbing mereka, insya-Allah kejayaan dapat dikecapi.

“Bagi yang berjaya memperoleh keputusan cemerlang hari ini, saya harap supaya mereka terus bekerja keras demi masa depan agar dapat menabur bakti kepada negara, bangsa dan agama,” katanya.

Berita Harian X