Rabu, 26 Februari 2020 | 12:16pm

Menelusuri hubungan cinta, benci PAS dan DAP

KEPUTUSAN PAS bersama parti komponen Barisan Nasional (BN), iaitu UMNO, MCA dan MIC memutuskan untuk menarik balik akuan bersumpah (SD) menyokong Perdana Menteri interim, Tun Dr Mahathir Mohamad sudah diketahui umum.

Meskipun PAS sebelum ini pernah menyatakan hasrat untuk membawa usul undi percaya kepada Dr Mahathir di Parlimen, sokongan parti itu kepada Perdana Menteri kini tiada lagi, hanya kerana satu faktor, iaitu DAP.

PAS bersama BN menarik semula sokongan kepada Tun kerana mendakwa timbul cadangan Perdana Menteri keenam itu untuk membentuk kerajaan perpaduan yang membabitkan parti-parti politik termasuk DAP.

Malah, mereka sanggup menjadi pembangkang daripada bekerja dalam satu kerajaan bersama DAP.

UMNO tidak pernah menjalinkan politik kerjasama dengan DAP, tetapi PAS pernah. Politik kerjasama PAS dan DAP menarik minat banyak pihak kerana dasar perjuangan mereka umpama langit dan bumi.

Malah, politik kerjasama yang pernah mereka jalinkan sebelum ini didakwa hanya bersifat jangka pendek, iaitu pakatan pilihan raya (untuk menang pilihan raya).

Hal ini jelas apabila PAS dan DAP bersetuju untuk melaksanakan strategi satu lawan satu dalam Pilihan Raya Umum ke-10 pada 1999.

PAS dan DAP pernah bekerjasama melalui platform Barisan Alternatif (BA) dan Pakatan Rakyat (PR).

Sebelum itu, kerjasama awal mereka terbentuk melalui Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia atau GERAK bersama Parti Keadilan, Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

GERAK buat pertama kali menggabungkan kerjasama PAS dan DAP yang bersetuju memperjuangkan isu dan kepentingan bersama seperti keadilan, kebebasan, demokrasi dan hak asasi manusia.

GERAK telah berjaya menemukan PAS dan DAP dalam satu platform dengan memberi tumpuan kepada isu dan kepentingan umum seperti demokrasi dan keadilan.

Dalam hal ini, Setiausaha Agung DAP ketika itu, Lim Kit Siang, menegaskan kerjasama DAP dan PAS adalah berasaskan isu-isu tertentu demi faedah bersama.

Ini bermakna kerjasama PAS dan DAP bukan membabitkan soal dasar dan perjuangan parti termasuk untuk menegakkan negara Islam.

Mursyidul Am PAS ketika itu, Datuk Nik Aziz Nik Mat menyifatkan GERAK adalah langkah pertama yang penting dalam merapatkan hubungan PAS dan DAP.

Bagi beliau, GERAK adalah ‘benih’ yang pada akhirnya akan menyatukan PAS dan DAP.

Allahyarham yang juga Menteri Besar Kelantan ketika itu, percaya lambat laun DAP akan boleh menerima konsep Islam yang dibawa oleh partinya.

Namun, kerjasama ini gagal pada akhirnya apabila ia membabitkan soal dasar parti.

Dalam konteks BA, hubungan PAS dan DAP putus kerana DAP tidak bersetuju dengan pendirian PAS untuk terus memperjuangkan Negara Islam.

Lebih malang lagi, DAP kalah banyak kerusi Parlimen pada PRU 1999 sehingga hilang status Ketua Pembangkang dan menyerahkannya kepada PAS. PAS pula menambah kekuatan dengan 27 kerusi Parlimen.

Ternyata, kerjasama PAS dan DAP ketika itu hanya memanfaatkan PAS, bukan DAP. DAP mengumumkan keluar BA pada 2001.

PAS yang kental dengan dasar perjuangannya, sanggup kehilangan DAP asalkan kepentingan dasar parti tidak terjejas.

Bagi menjelaskan prinsip DAP pula, Lim Kit Siang pernah menulis sebuah buku bertajuk ‘Islamic State’.

Dalam buku itu, beliau menafikan DAP sebuah parti anti-Islam hanya kerana menolak dasar PAS mahukan Negara Islam. Sebaliknya, beliau menulis konsep Negara Islam tidak selari dengan realiti masyarakat Malaysia yang majmuk.

Kerjasama PAS dan DAP terus diusahakan dalam platform baharu, iaitu PR.

PAS tekad memperbaiki kerjasama politik dengan DAP untuk menerima demokrasi melangkaui pilihan raya.

Ini termasuk memberi fokus kepada isu kepentingan bersama seperti demokrasi, keadilan, kebebasan dan kerajaan yang baik (good governance).

Bagaimanapun, hubungan kemuncak PAS dan DAP dalam PR terjejas apabila timbul isu Langkah Kajang, pencalonan Menteri Besar Selangor dan hasrat PAS untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan.

DAP menentang keras usaha PAS memperjuangkan hukum hudud kerana ia bukan menjadi dasar bersama PR.

Kit Siang mendakwa Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memungkiri janjinya sebelum Pilihan Raya Umum 2013 untuk tidak melaksanakan hudud secara tergesa-gesa.

PAS pula mendakwa, penentangan DAP kepada usaha pelaksanaan hukum hudud bercanggah dengan garis panduan ‘tahalluf siyasi’ mereka.

Berdasarkan perkembangan semasa, PAS bersama UMNO khususnya tekad menolak sebarang kerjasama dengan DAP.

Malah, mereka sanggup menjadi pembangkang daripada bersama DAP dalam sebuah kerajaan perpaduan yang didakwa mahu ditubuhkan oleh Dr Mahathir.

Berdasarkan sejarah politik kerjasama PAS dan DAP ini, sangat jelas hubungan cinta dan benci ini bersilih ganti.

Perbezaan ideologi perjuangan yang jauh berbeza, sukar untuk didekatkan meskipun ada ketikanya mereka bersama atas kepentingan politik yang satu.

PAS berpendirian, kerajaan tanpa DAP adalah kerajaan terbaik bagi memelihara kepentingan Melayu/Islam dan Bumiputera sebagai kumpulan majoriti di negara ini. Tanpa menolak sokongan bukan Melayu, PAS tekad menolak kerjasama dengan DAP.

Akan tetapi, sebarang kemungkinan boleh berlaku dalam politik pada masa hadapan.

Penulis ialah Profesor Madya di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Berita Harian X