Isnin, 24 Februari 2020 | 5:16pm
ADUN Seremban Jaya, P. Gunasekaran menerima ucapan tahniah setelah dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan berkaitan kumpulan LTTE di Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur. - Foto Khairul Azhar Ahmad
ADUN Seremban Jaya, P. Gunasekaran menerima ucapan tahniah setelah dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan berkaitan kumpulan LTTE di Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur. - Foto Khairul Azhar Ahmad

Gunasekaran lepas bebas tuduhan LLTE

KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, P Gunasekaran dilepas dan dibebaskan oleh dua Mahkamah Tinggi berasingan di sini, hari ini, atas tuduhan memberi sokongan kepada kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam LTTE.

Gunasekaran, 61, sebelum ini ditahan selama lebih empat bulan di Penjara Sungai Buloh selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonan ikat jaminannya yang dikemukakan menerusi peguam Ramkarpal Singh.

Terdahulu di awal prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Suffian Jaafar, memberitahu mahkamah pihaknya menerima arahan daripada Peguam Negara untuk menggugurkan pertuduhan terhadap Gunasekaran dan Balamurugan.

“Tiada sebarang alasan diberikan dalam permohonan ini. Sebaliknya pendakwaan menggunakan peruntukan mengikut Seksyen 254 Kanun Acara Jenayah,” katanya.

Sehubungan itu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin dan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali mengeluarkan perintah pembebasan itu terhadap Gunasekaran.

Mengikut pertuduhan, Gunasekaran didakwa dengan pengetahuan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE dengan cara menggunakan Facebook atas nama ‘DAP Guna Palanisamy’ di Pejabat Pegawai Penyiasat Bahagian E8 (M) Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman, di Kuala Lumpur, jam 2 petang, pada 7 Oktober 2019.

Dia juga dituduh memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE dalam satu majlis di Dewan Kasturi Ayer Keroh, Jalan Utama, Taman Ayer Keroh Heights, Melaka di antara jam 8.30 malam dengan 10.50 malam, pada 28 November 2018.

Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sepanjang hayat atau maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan untuk melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Jumaat lalu, Peguam Negara memutuskan untuk menghentikan prosiding terhadap 12 tertuduh yang menghadapi 34 pertuduhan berhubung menyokong kumpulan pengganas LTTE.

Tan Sri Tommy Thomas dalam kenyataannya berkata, tindakan itu diputuskan selepas tiada prospek jelas untuk sabitan ke atas pertuduhan terbabit.

“Dalam menjalankan kuasa budi bicara saya, menurut Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan saya memutuskan untuk memberhentikan prosiding terhadap mereka berkuat kuasa serta merta,” katanya.

Berita Harian X