Ahad, 23 Februari 2020 | 3:36pm
Gambar fail, Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar Yeo Bee Yin. - Foto Rasul Azli Samad
Gambar fail, Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar Yeo Bee Yin. - Foto Rasul Azli Samad

Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 diteliti semula

PASIR GUDANG: Akta alam sekitar yang baharu akan digubal sekiranya ada banyak pindaan perlu dilakukan terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, kata Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin.

Beliau berkata, Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) sedang memperhalusi perkara itu sebelum membentangkannya pada tahun ini.

“MESTECC mengadakan bengkel dua hari yang selesai, semalam, bagi meneliti semula Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Jika ada banyak perlu dipinda, kementerian akan mewujudkan akta alam sekitar yang baharu untuk dibentangkan pada tahun ini juga,” katanya pada sidang media di Pejabat Jabatan Alam Sekitar (JAS) Cawangan Pasir Gudang, Menara Aqabah Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), di sini, hari ini.

Bee Yin berkata, antara perkara diberi penekanan, sama ada membabitkan pindaan atau penggubalan akta baharu, ialah membolehkan kementerian mengawal pencemaran secara lebih sistematik.

“Kita juga akan memastikan hukuman dan denda terhadap penjenayah alam sekitar, adalah lebih berat daripada sebelumnya,” katanya.

Beliau berkata, pindaan atau penggubalan akta baharu memerlukan beberapa siri perbincangan lanjut dengan industri, ahli akademik dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi mendapatkan input serta pandangan mereka.

“Pindaan atau penggubalan akta baharu akan mengambil masa kerana kita mahu ia lebih berkesan bagi mengekang jenayah alam sekitar. Namun, kita akan bentangkan tahun ini juga,” katanya.

Berita Harian X