Ahad, 23 Februari 2020 | 12:15pm

Kemarau: Nelayan resah ikan kurang

PADANG TERAP: Lebih 200 nelayan di Tasik Pedu dan Muda, dekat sini mulai resah apabila hasil tangkapan ikan semakin kurang akibat kemarau, sejak Disember lalu.

Tinjauan di Tasik Pedu mendapati kebanyakan pukat tidak memberi sebarang hasil dan hanya beberapa ikan sahaja tersangkut selepas dipasang lebih 10 jam.

Keadaan itu memaksa nelayan meneroka kawasan tasik lebih jauh, walaupun perlu menanggung risiko bot dan pukat rosak akibat tersangkut pada tunggul kayu yang banyak.

Nelayan, Md Jusoh Abdul Rashid, 74, berkata pendapatannya merosot sejak akhir-akhir ini ditambah pula dengan keadaan botnya yang semakin uzur.

Katanya, beliau hanya mampu mendaratkan kira-kira 10 kilogram (kg) ikan berbanding sebelum ini lebih 50 kg setiap kali keluar menangkap sekitar kawasan tasik.

“Dengan usia semakin lanjut, saya tak mampu hendak pergi ke kawasan lebih jauh dan dalam, pukat mudah tersangkut serta rosak.

“Saya sudah menjadi nelayan di sini sejak tahun 70-an, nelayan di sini memang tiada sumber pendapatan lain, saya harap kerajaan dapat membantu kami seperti nelayan laut,” katanya

yang berasal dari Kampung Belukar Luas, di sini.

Nelayan, Mohd Ridzuan Abdul Wahab, 33, berkata beliau berharap kerajaan dapat membaik pulih jalan ke pangkalan Mong Gajah bagi memudahkan nelayan berulang-alik ke tasik.

Katanya, daratan yang semakin banyak menyukarkan mereka keluar ke tasik selain terpaksa mengubah bot dari pangkalan asal ke tempat lain.

“Baru-baru ini nelayan di sini mengambil inisiatif kumpul duit sendiri untuk meratakan jalan dan membersihkan semak samun selepas bot perlu dipindahkan ke kawasan berair

“Sekarang nak dapat 10 kg ikan pun susah, kami terpaksa keluarkan modal untuk ratakan jalan, jadi saya berharap sangat kerajaan prihatin dengan nasib kami,” katanya yang sudah 14 tahun menjadi nelayan di situ.

Ketua Daerah Perikanan Padang Terap, Mohd Asri Yusuf berkata, pihaknya akan memohon peruntukkan daripada kerajaan untuk menambah benih ikan di tasik berkenaan.

Katanya, ini berikutan jumlah pendaratan ikan nelayan di kawasan berkenaan semakin berkurangan sejak tiga tahun lalu, dan ia semakin menurun apabila musim kemarau berpanjangan.

“Kebanyakan ikan bersembunyi di tempat air yang lebih dalam kerana ia lebih sejuk, sebab itu nelayan sukar mendaratkan ikan pada musim kemarau.

“Pada 2017, kita sudah melepaskan 156,565 benih ikan. Hasil pendaratan ikan pada tahun itu sebanyak 41,435 kg, pada 2018 pula 40,437 kg, dan ia terus menurun kepada 30,112 kg sepanjang 2019,” katanya.

KEADAAN tasik yang kering turut menjadi perhatian pemancing untuk mencuba nasib. NSTP/Noorazura Abdul Rahman
KEADAAN tasik yang kering turut menjadi perhatian pemancing untuk mencuba nasib. NSTP/Noorazura Abdul Rahman
Berita Harian X