Jumaat, 21 Februari 2020 | 5:11pm
PENGERUSI Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Liow Cai Tung.
PENGERUSI Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Liow Cai Tung.

Sektor hotel Johor rugi RM5.4 juta tempahan dibatalkan

JOHOR BAHRU: Johor merekodkan sebanyak 15,808 pembatalan tempahan bilik hotel membabitkan kerugian RM5.4 juta berikutan penularan COVID-19, setakat 17 Februari lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Liow Cai Tung, berkata unjuran kerugian itu dibuat Persatuan Hotel Malaysia (MAH).

Katanya, kebanyakan pelancong yang membatalkan tempahan adalah dari China, diikuti Malaysia, Singapura, Taiwan, Korea dan Hong Kong.

“Berikutan kemerosotan industri pelancongan yang menjejaskan negeri sejak penularan COVID-19 awal tahun ini, Kerajaan Johor sudah mengambil langkah proaktif untuk berjumpa dengan pemain industri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mendapatkan maklumat terkini berkenaan industri pelancongan, baru-baru ini.

“Pasaran pelancongan antarabangsa mahupun domestik memang terjejas bukan sahaja di Malaysia tetapi secara global malah Kerajaan Johor memandang serius terhadap perkara ini kerana ia membawa impak kepada industri pelancongan negeri Johor.

“Sehubungan itu, satu sesi townhall ‘Tourism Recovery Action Committee” (TRAC) dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Negeri Johor, Tourism Johor dan agensi di bawah MOTAC Johor akan diadakan pada 23 Februari ini pada jam 2 petang di Fraser Place, Puteri Harbour bagi memaklumkan

perkembangan terkini serta pelan strategi pelancongan kepada para pemain industri pelancongan Johor, ” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Presiden MAH, Kamaruddin Baharin dilaporkan berkata, lebih 155,000 tempahan bilik hotel dengan anggaran kerugian sebanyak RM66 juta direkodkan berikutan wabak COVID-19.

Menurut laporan berkenaan, tempahan bilik hotel yang dibatalkan itu membabitkan pembatalan sehingga Mac namun beberapa pembatalan juga sudah diterima MAH bagi tempahan penginapan untuk April tahun ini yang membabitkan beberapa kumpulan pelancong.

Sementara itu, Cai Tung berkata, program townhall itu adalah inisiatif kerajaan pusat dan negeri untuk membantu memulihkan industri pelancongan.

“Ketika sesi itu perbincangan pelbagai pihak berkaitan akan diadakan selain mendengar luahan dan cadangan dari pemain industri untuk mencari strategi dan pendekatan yang terbaik untuk menangani kesan yang dibawa oleh COVID-19,” katanya.

Berita Harian X