Sabtu, 15 Februari 2020 | 10:26pm
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melihat penduduk penduduk setempat yang mengambil peluang membuat pemeriksaan kesihatan pada program khidmat masyarakat IJN dan Media Prima di Masjid Sungai Itau, Air Hangat, hari ini. - Foto BERNAMA
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melihat penduduk penduduk setempat yang mengambil peluang membuat pemeriksaan kesihatan pada program khidmat masyarakat IJN dan Media Prima di Masjid Sungai Itau, Air Hangat, hari ini. - Foto BERNAMA

PM, isteri hadir MPMO

LANGKAWI: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali antara 500 pengunjung program Media Prima Medical Outreach (MPMO) di Masjid Nurul Islam Kampung Sungai Itau di sini, hari ini.

Ketibaan Perdana Menteri pada jam 9.30 pagi dengan memandu sendiri kenderaan Proton X70 yang turut dinaiki isterinya, disambut Pengerusi Kumpulan Media Prima (MPB), Datuk Syed Hussian Aljunid dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Dr Aizai Azan Abdul Rahim.

Perdana Menteri turut meluangkan masa kira-kira 45 minit mendengar penerangan dan meninjau kakitangan IJN membuat pemeriksaan kesihatan jantung ke atas pengunjung.

Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) itu dianjurkan MPB, Briged Sukarelawan Media Prima-New Straits Times Press (NSTP) (Briged Sukarelawan), IJN dan Langkawi Youth Power Club.

Mengulas program hari kedua itu, Perdana Menteri berkata, program saringan kesihatan itu amat berkesan bagi membantu orang ramai mengetahui tahap kesihatan semasa.

“Program ini dapat membantu penduduk kerana selalunya kita tidak tahu menghidap sesuatu penyakit tertentu sehinggalah kita membuat pemeriksaan.

“Pemeriksaan awal kesihatan peringkat awal penting sebelum ia menjadi mudarat,” katanya pada sidang media selepas meninjau program berkenaan.

Sementara itu, Syed Hussian berkata, dua lokasi dipilih bagi mengadakan program CSR di Langkawi iaitu Dewan Persatuan Pendidikan Akhlak Chee Boon Kor di Kuah dan Masjid Nurul Islam Kampung Sungai Itau di sini.

“Kita juga menganjurkan program pembersihan pantai di Pulau Besar Basah petang semalam membabitkan 65 sukarelawan sebagai sebahagian lagi CSR di Langkawi kali ini.

“Program MPMO kali ini agak istimewa kerana kita turut membawa pakar pediatrik dan bas IJN yang dilengkapi mesin elektrokardiogram (ECG) untuk pemeriksaan,” katanya.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan MPB, Datuk Kamal Khalid, Pengurus Besar Komunikasi Korporat MPB, Azlan Abdul Aziz dan Ketua Pegawai Operasi IJN, Akmal Arief Mohamed Fauzi.

Berita Harian X