Sabtu, 15 Februari 2020 | 1:55pm
INSIDEN struktur sebuah kondominium dalam pembinaan yang runtuh di Taman Desa, Kuala Lumpur, petang semalam. - Foto Aswadi Alias
INSIDEN struktur sebuah kondominium dalam pembinaan yang runtuh di Taman Desa, Kuala Lumpur, petang semalam. - Foto Aswadi Alias

Baiki tahap keselamatan, kesihatan pekerja pembinaan - Lam Thye

KUALA LUMPUR: Semua pihak dalam industri pembinaan perlu memperbaiki tahap keselamatan dan kesihatan pekerja dengan menyelesaikan masalah kemalangan di tempat kerja dan mengambil langkah sewajarnya.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat (IKATAN), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata kemalangan yang kerap berlaku di tapak pembinaan memberi indikasi negatif terhadap prestasi keselamatan, selain menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap industri pembinaan.

Katanya, disebabkan itu, pengawasan keselamatan di tapak pembinaan perlu dipertingkat dan pemain industri harus bersedia untuk menggunakan teknologi bagi meningkatkan Pematuhan Keselamatan dan Kesihatan (OSH).

"Pemaju dan kontraktor perlu menggunakan teknologi terkini untuk membantu mereka memantau dan melindungi pekerja, mesin dan aktiviti di lapangan dengan lebih berkesan.

"Teknologi tanpa wayar yang digabungkan dengan perisian dan alat terkini seperti dron dan alat pengesan jarak jauh mampu memastikan pengurus keselamatan memantau pekerja dan mesin selain menilai keadaan semasa melalui komputer riba atau telefon pintar mereka.

"Malah seiring kemajuan teknologi, kita perlu memahami Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0) yang mana proses pengkomputeran dan automasi berkembang begitu pantas. IR4.0 adalah era Internet-of-Things (IoT) di mana peranti pintar saling berhubungan di internet dan kita harus mengikuti dan mengadaptasikan teknologi yang dapat membantu meningkatkan OSH," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas insiden struktur sebuah kondominium dalam pembinaan yang runtuh di Taman Desa, di sini, petang semalam yang menyebabkan dua pekerja warga asing terperangkap.

Mengulas lanjut, Lam Thye berkata, penguat kuasaan dan dasar yang ketat juga perlu diperkenalkan menerusi pengukuhan undang-undang sedia ada, termasuklah meminda Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) 1994 untuk membantu negara menghadapi cabaran baru dalam era IR4.0.

"Pekerja pembinaan juga perlu diberi latihan yang mencukupi supaya mereka tahu bagaimana mengenal pasti risiko dan mengendalikannya berdasarkan konsep "HIRARC" (Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko) untuk mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini.

"Latihan pemindahan juga perlu dilakukan sebagai sebahagian daripada pelan pengurusan OSH untuk memastikan pekerja bersedia untuk menghadapi sebarang kecemasan dan Pihak berkuasa yang berkaitan dalam industri pembinaan juga mesti memastikan bahawa kerja-kerja pembinaan yang dijalankan di tapak ini mematuhi spesifikasi yang ditetapkan pakar," katanya.

Statistik Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) menunjukkan terdapat 169 kematian dan 3,911 kemalangan di sektor pembinaan pada 2018.

"Kadar kematian bagi 100,000 pekerja dalam pembinaan ialah 13.44 pada 2018 berbanding 14.57 pada tahun 2017 malah jumlah kematian yang dicatatkan dalam industri pembinaan pada 2018 adalah yang tertinggi berbanding sektor lain," katanya.

Berita Harian X