Rabu, 12 Februari 2020 | 5:15pm
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar dan Perladangan Negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin. - Foto Zulkepli Osman
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar dan Perladangan Negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin. - Foto Zulkepli Osman

Kedatangan pelancong China dari Singapura ke Pahang tak disekat

KUANTAN: Tiada sekatan pelancong China ke Pahang membabitkan penerbangan terus dari Singapura ke Kuantan berikutan penularan coronavirus (COVID-19).

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar dan Perladangan negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata, ini kerana Singapura sudah melakukan pemeriksaan kesihatan ketat untuk memastikan pelancong dari negara Tembok Besar itu tidak dijangkiti virus terbabit.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar dan Perladangan negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata, pada masa sama, mesin pengimbas haba turut ditempatkan di Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah (LTSAS), di sini.

Sehubungan itu, katanya, pelancong China yang ingin melancong ke negeri itu masih boleh berbuat demikian.

“Setakat ini, tiada sekatan dilakukan kepada pelancong dari China kerana sebelum pemeriksaan kesihatan dilakukan di LTSAS, di Singapura terlebih dahulu melakukan saringan dan pemeriksaan,” katanya pada sidang media berhubung isu semasa sektor pelancongan Pahang di Wisma Sri pahang, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Kebudayaan Malaysia Pahang, Datuk Idros Yahya dan Pengurus Besar Tourism Pahang, Datuk Ishak Mokhtar.

Ketika ini, jadual penerbangan terus dari Singapura ke Kuantan ialah tiga kali seminggu.

Ditanya kemungkinan berlaku penurunan kedatangan pelancong luar negara, khususnya dari China, beliau berkata, kerajaan negeri mengakui Pahang dijangka terkesan dengan penularan wabak terbabit.

Bagaimanapun, katanya, Tourism Pahang akan menggandakan promosi pelancongan terutama menarik pelancong domestik ke negeri itu.

“Kita harap pelancong domestik yang tidak melancong ke negara China memilih Pahang sebagai dentinasi pelancongan mereka.

“Ini kerana Pahang mempunyai destinasi pelancongan yang menarik bukan sahaja pantainya yang cantik, malah mempunyai pulau dan kawasan tanah tinggi yang menarik.

“Berdasarkan statistik tahun lalu, seramai 13.9 juta pelancong dari dalam dan luar negara berkunjung ke Pahang berbanding 13.4 juta pelancong iaitu peningkatan 3.64 peratus pada 2018.

“Kita jangkakan lebih 15 juta pelancong akan ke Pahang sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2020,” katanya.

Berita Harian X