Selasa, 4 Februari 2020 | 5:32pm
PENIAGA menjual haiwan liar di sebuah pasar di Shenzen. - Foto AFP
PENIAGA menjual haiwan liar di sebuah pasar di Shenzen. - Foto AFP

Hanya segelintir penduduk China yang makan haiwan liar, eksotik

KUALA LUMPUR: Tabiat memakan haiwan eksotik dalam kalangan masyarakat di China, yang sering kali dikaitkan dengan wabak 2019 Novel Koronavirus (2019-nCoV), bukanlah amalan keseluruhan rakyat republik itu.

Duta Besar China ke Malaysia, Bai Tian berkata hanya segelintir yang mengamalkan pemakanan seumpama itu dan kerajaan negara itu kini sudah mula menerapkan kesedaran mengenai risiko kesihatan akibat memakan haiwan berkenaan.

Katanya, beliau sendiri serta keluarga tidak pernah dan berminat untuk menjadikan haiwan eksotik berkenaan sebagai pilihan makanan.

“Juga menjadi undang-undang dan peraturan, kerajaan China telah menguatkuasakan perlindungan maksimum ke atas flora dan fauna di China termasuk haiwan dan tumbuhan liar.

“Bagaimanapun sudah tentu terdapat beberapa orang yang mempunyai pilihan bentuk pemakanannya untuk memakan haiwan liar apabila mereka berpendapat lebih berkhasiat,” katanya pada satu temu bual eksklusif bersama Bernama TV di pejabatnya di sini, hari ini.

Bai Tian berkata pada 26 Januari lalu, kerajaan China telah mengeluarkan pengumuman secara rasmi melarang pemerdagangan hidupan liar dan menggesa orang ramai untuk memahami sepenuhnya risiko kesihatan akibat pemakanan haiwan liar.

Menurut laporan media, pakar dari Pusat Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit (CDC) berjaya mengasingkan sejumlah besar kuantiti Koronavirus dari sampel alam sekitar yang didapati dari pasar makanan laut eksotik di Wuhan.

Kejayaan itu memberi petunjuk bahawa virus yang kini telah merebak ke lebih 20 negara itu berasal dari daging haiwan liar yang dijual di pasar itu.

Menurut Bai Tian, sejak penularan coronavirus, kerajaan China telah mengambil langkah-langkah drastik dan proaktif dalam menangani wabak yang telah menyebabkan lebih 400 kematian di negara itu.

“Selepas penularan wabak itu, seluruh China digerakkan untuk memerangi wabak itu. Presiden Xi Jinping secara peribadi mengarah dan mengaturkan langkah untuk memerangi wabak itu,” kata Bai Tian.

Menurut beliau, Kerajaan China telah menggerakkan sistem pencegahan dan kawalan komprehensif dari pelbagai lapisan – iaitu dari pusat kepada kerajaan tempatan, dengan menempatkan wilayah Wuhan dan Hubei sebagai tumpuan.

Bai Tian juga tersentuh dengan komitmen semua pihak dalam menangani situasi getir ini umpamanya, lebih 50 pasukan perubatan terdiri daripada lebih 6,000 pegawai perubatan seluruh China membantu Wuhan merawat penyakit yang diakibatkan oleh virus ini.

Katanya, kesungguhan dan komitmen kerajaan negara itu dalam menangani virus berkenaan juga terbukti dengan pembinaan sebuah hospital dalam masa 10 hari sahaja dengan kapasiti lebih 1,000 katil, yang dianggap sebagai satu keajaiban. – BERNAMA

Berita Harian X