Sabtu, 1 Februari 2020 | 5:12pm

AMANAH tolak pelaksanaan PPSMI

KUALA LUMPUR: Parti Amanah Negara (AMANAH) menolak cadangan pelaksanaan semula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) yang diusulkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, Naib Presiden AMANAH yang juga Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad, menegaskan parti itu terbuka untuk berbincang mengenainya, memandangkan cadangan berkenaan belum dibawa ke peringkat Kabinet.

"Pada dasarnya, pendirian AMANAH berhubung dengan PPSMI adalah kami tidak bersetuju, kecuali ada hujah yang kukuh untuk membuktikan sebaliknya.

"Kita terbuka untuk perbincangan, kita nak tengok apa yang dicadangkan. Jika benar pengajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris nak dilakukan, maka kita nak dengar hujah di sebaliknya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melepaskan 1,500 konvoi bermotosikal anjuran Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan Ke-16 di Dataran Merdeka, hari ini.

Beliau mengulas hasratDr Mahathir yang mahu bahasa Inggeris digunakan semula untuk pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Sains dan Matematik di sekolah, yang disampaikan ketika mesyuarat khas bersama pentadbiran Kementerian Pendidikan di Putrajaya sebelum rakaman video ringkas mesyuarat itu dimuat naik dalam Twitter rasminya, semalam.

Mengulas lanjut, Khalid percaya pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris akan menambah kesukaran bagi pelajar tempatan menguasai kedua-dua mata pelajaran berkenaan.

Katanya, jika kerajaan berhasrat memperkukuh penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar, langkah terbaik adalah menambah tempoh waktu pengajaran dan pembelajaran bahasa itu.

"Dalam keadaan pelajar susah untuk faham Sains dan Matematik dalam bahasa ibundanya, akan bertambah sukarlah bagi mereka untuk belajar menggunakan bahasa asing.

"Lebih baik kamu beritahu penduduk di kampung yang kita akan ajar Matematik dan Sains dalam bahasa Mandarin. Kesannya sama kerana mata pelajaran yang susah difahami, perlu diajar dalam bahasa yang mudah difahami," katanya.

NAIB Presiden AMANAH yang juga Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad melancarkan Konvoi Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan Ke-16 di Dataran Merdeka, hari ini. - Foto Mustaffa Kamal
NAIB Presiden AMANAH yang juga Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad melancarkan Konvoi Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan Ke-16 di Dataran Merdeka, hari ini. - Foto Mustaffa Kamal
Berita Harian X