Sabtu, 1 Februari 2020 | 3:04pm
Anwar berucap pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina PKR peringkat Kebangsaan di Padang Kota Lama, malam tadi. - NSTP/Danial Saad
Anwar berucap pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina PKR peringkat Kebangsaan di Padang Kota Lama, malam tadi. - NSTP/Danial Saad

'Biar depa bincangkan PPSMI di Kabinet'

GEORGETOWN: PKR menyerahkan cadangan pelaksanaan semula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) kepada Kabinet, kata Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Biar depa (mereka) bincangkan (PPSMI) di Kabinet,” katanya yang enggan mengulas lanjut.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina PKR peringkat Kebangsaan di Padang Kota Lama, di sini, malam tadi. Majlis itu turut dihadiri Penasihat DAP Lim Kit Siang dan barisan pemimpin parti-parti dalam Pakatan Harapan.

Sementara itu, Setiausaha Agong PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, ketika mengulas berhubung cadangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu mengembalikan semula PPSMI sedangkan PKR satu ketika dahulu membantah serta menggesa memansuhkannya pula berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat parti itu.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata PKR setakat ini belum ada pendirian berhubung PPSMI kerana perkara itu baru diumumkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam.

“PKR bermesyuarat setiap minggu jadi kami akan membincangkan perkara ini segera. Perkara ini baru sahaja diumumkan oleh Perdana Menteri,” katanya.

Perdana Menteri semasa mesyuarat khas bersama Kumpulan Pengurusan Kementerian Pendidikan Malaysia di Putrajaya semalam menekankan tentang perlunya menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik.

Dr Mahathir, yang juga pemangku Menteri Pendidikan, berkata ini adalah sejajar dengan hasrat kerajaan untuk menggalakkan penggunaan bahasa Inggeris dan penguasaan bahasa itu dalam sistem pendidikan negara.

Dasar PPSMI yang diperkenalkan pada 2003 telah digantikan dengan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) secara berperingkat mulai 2010. – BERNAMA

Berita Harian X