Ahad, 26 Januari 2020 | 11:54am

Langkawi bebas wabak coronavirus

LANGKAWI: Pulau Langkawi masih bebas daripada kes Coronavirus atau 2019-nCoV ekoran langkah pencegahan yang dilaksanakan Pejabat Kesihatan Daerah Langkawi.

Pegawai Kesihatan Daerah Langkawi, Dr Mohd Lutpiyudin Azidin, berkata pihaknya masih belum mengesan kes berkaitan penyakit itu di kawasan terbabit.

“Kita perketatkan pencegahan dengan menempatkan petugas kesihatan di semua pintu masuk ke Langkawi sebagai langkah berjaga-jaga.

“Semua penumpang penerbangan antarabangsa yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL) diperiksa menerusi alat pengimbas suhu badan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dr Mohd Lutpiyudin berkata, pengunjung yang didapati suhu badan tinggi melebihi 37.5 darjah celsius akan dirujuk ke bilik saringan berhampiran.

“Selanjutnya, satu pasukan petugas yang disertai seorang doktor daripada Klinik Kesihatan Padang Matsirat dipanggil bagi membuat pemeriksaan lanjut.

“Kalau ada tanda kes novel coronavirus, kita akan hantar individu terbabit ke Hospital Sultanah Maliha di sini, untuk tindakan lanjut,” katanya.

Petugas kesihatan ditempatkan di pintu masuk ke Langkawi sebagai langkah berjaga-jaga. - Ihsan Pejabat Kesihatan Daerah Langkawi
Petugas kesihatan ditempatkan di pintu masuk ke Langkawi sebagai langkah berjaga-jaga. - Ihsan Pejabat Kesihatan Daerah Langkawi

Beliau berkata, selain di LTAL, pemeriksaan kesihatan turut dibuat di Jeti Kuah, Dermaga Tanjung Lembung, Telaga Habour Park dan Awana Porto Malai.

“Bagi empat pintu masuk selain lapangan terbang, pengunjung antarabangsa perlu jujur mengisytiharkan tahap kesihatan masing-masing kepada kakitangan bertugas.

“Setakat ini hanya pemeriksaan penumpang di LTAL sahaja menggunakan alat pengesan suhu bagi pengesanan status kesihatan semasa,” katanya.

Sementara itu, Pengurus LTAL, Jefry Ramli, berkata mencatatkan purata lima penerbangan antarabangsa masuk ke Langkawi setiap hari.

Beliau berkata, antaranya termasuk penerbangan Fly Scoot dan AirAsia dari Singapura, Malindo Air meliputi pelbagai destinasi antaranya Chengdu, Kunming, Ningbo dan Nanjing.

“Turut tiba, penerbangan Qatar Airways dari Doha, Arab Emiriah Bersatu (UAE) dan penerbangan TUI Airways dari Manchester, Birmingham dan Gatwick, United Kingdom,” katanya.

Setakat ini hanya pemeriksaan penumpang di LTAL sahaja menggunakan alat pengesan suhu bagi pengesanan status kesihatan semasa. - Ihsan Pejabat Kesihatan Daerah Langkawi
Setakat ini hanya pemeriksaan penumpang di LTAL sahaja menggunakan alat pengesan suhu bagi pengesanan status kesihatan semasa. - Ihsan Pejabat Kesihatan Daerah Langkawi
Berita Harian X