Jumaat, 24 Januari 2020 | 9:30am
Gambar fail, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Lagu Rasmi 'Visit Malaysia 2020' di Istana Budaya. - Foto Asyraf Hamzah
Gambar fail, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Lagu Rasmi 'Visit Malaysia 2020' di Istana Budaya. - Foto Asyraf Hamzah

Malaysia catat RM66.1 bilion pendapatan pelancongan

KUALA LUMPUR: Seramai 20.1 juta pelancong antarabangsa berkunjung ke Malaysia sepanjang Januari hingga September tahun lalu yang menjana pendapatan sebanyak RM66.1 bilion.

Perkara itu disebut dalam Laporan Pencapaian 2019 Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) diterajui Datuk Mohamaddin Ketapi, hasil pelbagai usaha kementerian itu dalam menjadikan negara sebagai destinasi pelancongan dan kebudayaan bertaraf dunia menjelang 2020.

Menurut laporan yang dimuat naik di portal rasmi kementerian itu baru-baru ini, 2019 turut menyaksikan Program Pengalaman Homestay Malaysia (Homestay) yang bertujuan memperkasa ekonomi luar bandar, menjana pendapatan sebanyak RM29.7 juta membabitkan kedatangan seramai 458,899 pelancong

Selain itu, bagi kluster Pelancongan Perniagaan, seramai 109,838 delegasi antarabangsa membawa anggaran impak ekonomi sebanyak RM1.8 bilion dicatat menerusi program Pelancongan Perniagaan Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCeB).

Turut disebut dalam laporan itu adalah prestasi program Malaysia Rumah Kedua (MM2H) yang merekodkan kutipan fi visa sebanyak RM14.1 juta sepanjang tahun lepas.

Pendapatan sektor kebudayaan pula menyaksikan impak ekonomi berjumlah RM585.4 juta, merangkumi hasil kluster seni budaya kraf dan seni visual (RM547.9 juta), seni persembahan (RM28.7 juta), warisan budaya (RM4.1 juta) dan lain-lain sebanyak RM4.7 juta.

Sementara itu, prestasi kehadiran pelawat ke Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) serta acara dan premis kebudayaan bagi tahun lalu adalah 29.3 juta orang.

Daripada jumlah itu, kunjungan pelawat ke Tapak Warisan Dunia UNESCO adalah seramai 19.8 juta, acara kebudayaan (1.6 juta) dan premis kebudayaan (7.9 juta).

Laporan itu turut menyebut sebanyak 1,809 aduan membabitkan pengusaha pelancongan, pemandu pelancong dan kenderaan persiaran direkodkan menerusi penguatkuasaan Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482) dan Akta Pelesenan Kenderaan Pelancongan 1999 (Akta 594).

Sepanjang 2019 juga pelbagai usaha pembangunan prasarana untuk merapatkan jurang antara wilayah berjaya dilaksanakan termasuk menaik taraf kemudahan pelancongan di Burlington, Taman Kinabalu, Sabah; Hutan Paya Laut, Matang di Perak dan pemuliharaan Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti, Negeri Sembilan.

Malaysia turut dianugerahkan pelbagai pengiktirafan di peringkat global tahun lalu, antaranya sebagai destinasi nombor satu dalam 10 senarai teratas bagi Halal-Friendly Holiday Destination 2019 oleh Indeks Penarafan Pelancongan Muslim Global MasterCard-Crescent, nombor satu antara enam negara dengan penjagaan kesihatan terbaik di dunia serta penyenaraian seni mempertahankan diri silat di bawah kategori Representative List of the Intangible Cultural Heritage of Humanity UNESCO.

Menurut laporan setebal 56 muka surat itu, pelbagai program peringkat antarabangsa turut berjaya dilaksanakan termasuk Sidang Kemuncak Organisasi Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO).

Turut menjadi tumpuan pada tahun lalu adalah acara pelancongan dan kebudayaan seperti Hari Kraf Kebangsaan 2019, Pesta Angin Timur, Festival Balik Pulau 2019, Keretapi Sarong 2019 dan Festival Seni Hidup. – BERNAMA

Berita Harian X