Selasa, 21 Januari 2020 | 8:33pm
Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar (dua, kanan) meninjau persekitaran tapak Loji Rawatan Air Langat 2 selepas Majlis Penyerahan dan Pengoperasian Stream B di Hulu Langat hari ini. Turut serta Ketua Pengerusi Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) Datuk Seri Dr Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani (kanan). - Foto BERNAMA
Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar (dua, kanan) meninjau persekitaran tapak Loji Rawatan Air Langat 2 selepas Majlis Penyerahan dan Pengoperasian Stream B di Hulu Langat hari ini. Turut serta Ketua Pengerusi Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) Datuk Seri Dr Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani (kanan). - Foto BERNAMA

Penyerahan Loji Langat 2 tidak libat kenaikan tarif air

KUALA LUMPUR: Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar memberi jaminan tarif air di Selangor dan ibu negara tidak akan naik selepas kerajaan menyerahkan Loji Rawatan Air Langat 2 kepada Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Beliau berkata, kerajaan sudah membuat perancangan termasuk kiraan harga sekiranya penyerahan itu berlaku untuk mengelakkan bebanan terhadap pengguna di negeri itu.

Katanya, jaminan itu juga berdasarkan kadar faedah yang diberikan kerajaan kepada syarikat pengurusan air negara adalah pada kadar yang nominal.

“Tidak akan berlaku kenaikan kerana kerajaan sudah membuat kiraan termasuk harga yang disenaraikan Air Selangor kerana ia di bawah Pengurusan Aset Air Selangor (PAAB) yang merupakan agensi kerajaan.

“Kadar faedah yang diberikan (kepada Air Selangor) juga pada kadar nominal dalam tempoh 45 tahun... tiada bank yang menawarkan seperti itu,” katanya pada Majlis Penyerahan dan Pengoperasian Stream B Loji Rawatan Air Langat 2.

Yang turut hadir, Pengerusi Pengurusan Aset Air Selangor (PAAB), Datuk Seri Dr Nik Norzul Thani Nik Hassan Thani, Ketua Pegawai Eksekutif PAAB Abdul Hadi Ali dan Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Zurinah Pawanteh.

Bagaimanapun Xavier berkata, syarikat pengurusan air negara perlu mempunyai model perniagaan yang bersifat kompetitif dan sesuai supaya perancangan pembayaran semula dilakukan kepada kerajaan.

“Dengan adanya pelan sedemikian, untuk tempoh 10 ke 15 tahun akan datang ini, tarif air ini perlu disesuaikan dan lebihan dana itu mampu dimanfaat sebaiknya,” katanya.

Ditanya mengenai cadangan untuk mendapatkan bekalan air dari Pahang yang dilihat tidak berdepan dengan krisis air, Xavier mengakui ia sedang dipertimbangkan tetapi membabitkan kos yang tinggi.

“Kita sudah mendapat beberapa cadangan untuk diteliti kerajaan tetapi saya boleh katakan ia membabitkan sejumlah belanjawan yang besar khususnya mengenai pengagihan air dari negeri ke negeri.

“Tetapi jika ia tidak dilakukan, kita akan berdepan dengan krisis air yang meruncing dan disebabkan itu perkara itu dalam kajian untuk dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12),” katanya.

Beliau juga menjelaskan, program pengagihan air dari negeri ke negeri itu juga mampu dijadikan insentif terbaru kerajaan negeri yang terbabit untuk meningkatkan pendapatan.

Xavier turut menzahirkan kebimbangan Loji Rawatan Air Langat 2 masih belum mencapai objektif apabila ia belum disiapkan sepenuhnya kerana proses siap tertangguh sehingga enam tahun.

“Pembinaan ini bermula pada 2014 dengan jangkaan siap pada 2017 tetapi beberapa faktor mengakibatkan ia tertangguh dan hanya akan siap pada 2030.

“Saya bimbang kerana Loji Rawatan Air Langat 2 tidak akan mampu bertahan untuk menampung peningkatan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Oleh demikian, saya secara serius berasakan Fasa 2 loji ini perlu dimulakan segera,” katanya.

Stream B Langat 2 yang mula beroperasi itu berupaya menyalurkan air terawat sehingga 565 juta liter air sehari (MLD) kepada kira-kira 900,000 penduduk secara berperingkat yang akan melalui Kolam Air Imbangan Bukit Enggang dan Kolam Air Imbangan Langat.

Berita Harian X