Ahad, 19 Januari 2020 | 4:12pm
Pihak kontraktor memasang hygroscopic flare pada pesawat sebelum diterbangkan bagi tujuan operasi pembenihan awan di Kawasan Muda. - Ihsan MADA
Pihak kontraktor memasang hygroscopic flare pada pesawat sebelum diterbangkan bagi tujuan operasi pembenihan awan di Kawasan Muda. - Ihsan MADA

Operasi pembenihan awan mula dilaksanakan di Kedah

ALOR SETAR: Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) melaksanakan Operasi Pembenihan Awan Kawasan Muda pada jam 12.30 tengah hari tadi.

Pengurus Besar MADA, Datuk Fouzi Ali, berkata operasi berkenaan dijangka dapat dilaksanakan selama tiga hari sehingga Selasa (21 Januari 2020) bergantung kepada kesediaan awan dan kelembapan yang sesuai.

“Operasi ini menyasarkan kawasan tadahan empangan serta dataran Kawasan Muda.

“Sekiranya operasi ini berjaya, hujan dijangka dapat meningkatkan paras takungan empangan dan membantu pengairan di kawasan sawah.

“Justeru, pihak MADA memohon agar semua peladang di Kawasan Muda dan rakyat negeri Kedah serta Perlis dapat mendoakan kejayaan operasi ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Fouzi berkata, walaupun cuaca mendung di kebanyakan tempat semalam, tiada hujan direkodkan di kawasan Muda.

Setakat jam 8 pagi tadi, kedudukan takungan paras air di tiga empangan utama menurun.

“Empangan Pedu mencatatkan paras 45.59 peratus, Empangan Muda 14.42 peratus dan Empangan Ahning 61.57 peratus.

“Pelepasan air daripada empangan hari ini adalah sebanyak 127.5 meter padu sesaat untuk tujuan pengairan tanaman padi dan kegunaan domestik,” katanya.

Berita Harian X