Khamis, 16 Januari 2020 | 6:07pm
Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg berbual dengan Pengerusi MPB, Datuk Syed Hussian Aljunid (kiri) di Pejabat Ketua Menteri Sarawak. - NSTP/Mohd Radzi Bujang
Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg berbual dengan Pengerusi MPB, Datuk Syed Hussian Aljunid (kiri) di Pejabat Ketua Menteri Sarawak. - NSTP/Mohd Radzi Bujang

Media Prima kukuhkan kerjasama dengan Sarawak

KUCHING: Kumpulan Media Prima Berhad (MPB) akan terus mengukuhkan kerjasama dengan kerajaan Sarawak khususnya dalam beberapa kolaborasi yang dipersetujui sebelum ini.

Pengerusi MPB, Datuk Syed Hussian Aljunid berkata, antara kolaborasi itu ialah memperkemaskan pengedaran sisipan BH Didik.

Selain itu, katanya, MPB turut mengadakan kerjasama dengan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dalam program pencarian bakat baharu bidang lakonan.

“Kerjasama dengan kerajaan negeri ini diperkukuhkan menerusi pertemuan saya dengan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg hari ini, iaitu kunjungan rasmi terhadap beliau sejak saya dilantik sebagai Pengerusi MPB.

“Sebelum ini, saya pernah bertemu beliau (Abang Johari) untuk membincangkan beberapa kolaborasi dan kini kita akan meneruskan perbincangan mengenainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pertemuan itu di pejabat Abang Johari di Wisma Bapa Malaysia di Petra Jaya hari ini.

Syed Hussian berkata, beberapa siri pertemuan akan diadakan MPB dengan Abang Johari selepas ini bagi mengukuhkan lagi jalinan kerjasama kedua-dua pihak.

“Kami akan mengadakan satu lagi pertemuan dengan Ketua Menteri pada minggu depan dan disusuli satu lagi perbincangan tiga minggu kemudian.

“Jalinan kerjasama ini akan memberi manfaat kepada MPB dan juga kerajaan negeri,” katanya.

Berita Harian X