Selasa, 14 Januari 2020 | 8:49pm
Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Mahmoud Hussien Saeed Qattan (kanan) menyerahkan sumbangan kepada mangsa Mat Deris Mohd Noor (dua dari kanan) pada Majlis Penyerahan Sumbangan kepada mangsa dan waris mangsa kemalangan kren di Makkah pada majlis yang diadakan di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia hari ini. - Foto BERNAMA
Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Mahmoud Hussien Saeed Qattan (kanan) menyerahkan sumbangan kepada mangsa Mat Deris Mohd Noor (dua dari kanan) pada Majlis Penyerahan Sumbangan kepada mangsa dan waris mangsa kemalangan kren di Makkah pada majlis yang diadakan di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia hari ini. - Foto BERNAMA

Wang pampasan mangsa kren tumbang bukti keprihatinan Raja Salman - Duta Arab Saudi

KUALA LUMPUR: Pembayaran wang pampasan bagi jemaah haji yang terkorban dan cedera dalam kejadian kren tumbang di Masjidil Haram, Makkah pada 2015, membuktikan keprihatinan Raja Arab Saudi Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud, terhadap mangsa dan waris insiden berkenaan, kata duta negara itu ke Malaysia, Datuk Dr Mahmoud Hussien Saeed Qattan.

Katanya, walaupun syarikat pembinaan, yang bertanggungjawab dalam menaik taraf Masjidil Haram ketika insiden itu didapati tidak bersalah dan tidak perlu membayar pampasan, Raja Salman prihatin dan memutuskan mengeluarkan peruntukan, sebagai bayaran pampasan kepada mangsa dan waris kejadian itu.

Mengimbas kembali kejadian yang berlaku pada 11 September selepas selesai solat Asar itu, katanya Raja Salman bergegas melawat lokasi kejadian sejurus dimaklumkan mengenai kejadian malang itu, dan mengarahkan supaya penyiasatan segera dilakukan bagi mempercepatkan urusan penyerahan pampasan kepada mereka yang terbabit.

“Raja Salman juga sentiasa memantau rapat perkembangan insiden itu dari awal sehingga selesai pemberian wang pampasan, kepada mangsa dan waris dari setiap negara yang terbabit.

“Arab Saudi sentiasa meletakkan perkhidmatan kepada agama Islam dan umatnya sebagai keutamaan, serta dua kota suci Makkah dan Madinah adalah syiar penting dalam pelaksanaan ibadah haji,” katanya dalam satu wawancara khas bersama Bernama di Kedutaan Arab Saudi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mahmoud Hussien berkata Raja Salman sering berbangga dengan gelaran penjaga dua kota suci dan beranggapan gelaran itu mempunyai tanggungjawab besar, kepada agama Islam sama ada di peringkat domestik dan antarabangsa.

Duta Arab Saudi ke Malaysia itu berkata pemberian wang pampasan itu diserahkan melalui kerajaan Malaysia, untuk meringankan beban mangsa dan waris keluarga jemaah yang terbabit.

Waris tujuh mangsa jemaah haji Malaysia yang terkorban masing-masing menerima pampasan bernilai 1 juta Riyal (bersamaan kira-kira RM1.17 juta) manakala tiga lagi jemaah yang cedera dalam insiden itu, masing-masing menerima 500,000 Riyal (bersamaan kira-kira RM587,574).

Menyentuh mengenai keberkesanan pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) mengendalikan jemaah haji Malaysia, Mahmoud Hussien berkata TH sentiasa menjadi penanda aras negara Islam lain, dalam pengurusan jemaah haji.

“Saya dapat tahu bahawa ada beberapa negara Islam yang berhubung dengan pihak Malaysia, untuk mempelajari kepakaran TH dalam menguruskan hal-hal berkaitan ibadah haji.

“Ini adalah perkara positif… saya berharap kerjasama berterusan antara Kedutaan Arab di sini dan TH, dapat dikekalkan demi memberi perkhidmatan terbaik kepada jemaah haji,” katanya.

Duta Arab Saudi ke Malaysia itu, yang sudah berkhidmat di negara ini sejak Februari 2017, berharap TH akan terus maju dalam aktiviti pelaburan dan pembangunan pengurusan haji pada masa akan datang.

Mengulas persediaan kerajaan Arab Saudi pada musim haji 1441 Hijrah tahun ini, Mahmoud Hussien berkata negaranya sudah mula bersiap sedia, sehari selepas tamatnya musim haji tahun lalu.

“Beberapa projek pembangunan di Makkah dan Madinah telah berjaya disiapkan, sebelum menjelang musim haji tahun ini, bagi memastikan perkhidmatan terbaik diberikan kepada jemaah,” katanya. - BERNAMA

Berita Harian X