PUTRAJAYA: Kerajaan akan memastikan peruntukan di bawah Belanjawan 2020 digunakan tahun ini bagi melaksanakan projek dan program kementerian.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata beliau tidak mahu peruntukan yang disediakan di bawah belanjawan tahun ini lambat diagihkan seperti tahun lalu, sehingga menyebabkan terdapat projek yang sepatutnya dilaksanakan tahun lalu hanya boleh dimulakan tahun ini.
Kelewatan agihan itu berlaku katanya disebabkan masalah dalaman serta kerenah birokrasi dan langkah bagi mengatasi masalah itu sudah pun diambil.
“Pada tahun lalu, kita agihkan wang pada Januari tapi ada sesetengah kementerian hanya mengagihkannya kepada agensi pada Mei, jadi (tawaran) tender hanya boleh dijalankan tiga ke empat bulan kemudian iaitu September atau Oktober dan tender dianugerahkan pada Disember, jadi kerja bermula pada 2020, bukan 2019.
“Ini sesuatu yang tidak seharusnya berlaku, jadi kita sudah ambil langkah supaya masalah tahun lalu tidak berlaku lagi.
“Jadi, ketika ini, peruntukan di bawah Belanjawan 2019 akan dibelanjakan pada 2020 dan bagi program Belanjawan 2020 juga akan dibelanjakan pada tahun sama,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di sini, hari ini.
Sementara itu, dalam ucapannya pada perhimpunan itu, Guan Eng memaklumkan, inisiatif e-Tunai Rakyat kepada 15 juta rakyat menerusi akaun e-dompet akan dilancarkan minggu depan.
“Rakyat akan diberikan sekurang-kurangnya RM30. Saya difahamkan, syarikat pembekal perkhidmatan swasta akan menambah nilai kepada jumlah ini,” katanya.
Inisiatif e-Tunai Rakyat yang diumumkan kerajaan pada pembentangan Belanjawan 2020 yang lalu menyediakan peruntukan RM450 juta, yang menggalakkan budaya digital dan beralih kepada masyarakat tanpa tunai.