Sabtu, 4 Januari 2020 | 7:48pm
KETUA Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg merasmikan Pelancaran Blok Pandalela di P’Residence, Batu Kawah, Kuching, hari ini. - Foto Hazreen Mohamad
KETUA Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg merasmikan Pelancaran Blok Pandalela di P’Residence, Batu Kawah, Kuching, hari ini. - Foto Hazreen Mohamad

Menteri Pendidikan baharu perlu ada hala tuju jelas ke arah IR4.0

KUCHING: Menteri Pendidikan baharu yang dilantik kelak perlu ada hala tuju jelas untuk menyediakan pelajar di negara ini ke arah ekonomi berasaskan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0).

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata sebagai antara kementerian utama dalam pentadbiran negara, Kementerian Pendidikan juga harus mengelakkan perkara yang ‘remeh’.

“Jika mahu menuju ke arah IR4.0, kita perlu melatih rakyat negara ini, termasuk meningkatkan penguasaan pelajar dalam bidang sains dan matematik serta kemahiran berbahasa asing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas peletakan jawatan Dr Maszlee Malik sebagai Menteri Pendidikan, pada sidang media selepas merasmikan Pelancaran Blok Pandalela di P’Residence, Batu Kawah, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, Maszlee walaupun ada kelemahan tertentu, tetap memiliki kekuatan tersendiri ketika menerajui kementerian itu, terutama dalam usaha menyelesaikan isu sekolah daif di Sarawak.

“Saya dan beliau mampu mencapai kata sepakat berkenaan sekolah daif. Beliau bersetuju dengan kaedah pembayaran hutang negeri digunakan semula bagi membaik pulih sekolah daif,” katanya.

Sementara itu, Abang Johari yang juga Menteri Kewangan dan Perancangan Ekonomi Sarawak, berkata kemudahan Transit Aliran Automatik (ART) dijangkakan beroperasi di negeri ini selewat-lewatnya pada 2025.

“Kita akan bermula dengan jajaran Samarahan menuju ke Kuching, sebelum diperluas hingga ke Bau dan Sematan. Bagaimanapun, ketika ini, kajian masih dilaksanakan.

“Pembinaan ART adalah penting sebagai persediaan Sarawak menuju ke arah negeri maju menjelang 2030,” katanya.

Beliau berkata, sistem Transit Aliran Ringan (LRT) tidak dapat dilaksanakan susulan bantahan sesetengah pihak.

“Pembinaan ART juga lebih menjimatkan kerana tidak menggunakan rel (berbanding LRT).

“Ada yang tidak bersetuju dan ada yang okay. Oleh itu, kita tumpu kepada kajian terlebih dahulu,” katanya.

Berita Harian X