Khamis, 2 Januari 2020 | 5:29pm

Affendi dilantik Panglima Angkatan Tentera baharu

KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera baharu berkuat kuasa hari ini.

Pelantikan Affendi sebagai Panglima Angkatan Tentera ke-21 adalah bagi menggantikan Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin yang bersara wajib hari ini.

Pelantikan itu juga menyaksikan Affendi menjadi Panglima TUDM kedua dilantik ke jawatan terbabit selepas Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin yang berkhidmat sebagai Panglima Angkatan Tentera ke-17 bermula 1 September 2009 hingga 14 Jun 2011.

Majlis Serah Terima Tugas jawatan itu disaksikan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu di Auditorium Wisma Pertahanan di sini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong dan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali.

Affendi, 58, anak kelahiran Kuching, Sarawak menyertai TUDM sebagai Pegawai Kadet pada 1980 dan dipilih menjalani latihan asas terbang di TUDM Alor Setar, Kedah.

PANGLIMA Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin (kiri) menyerahkan tongkat kuasa kepada Panglima Angkatan Tentera Baharu, Jeneral Tan Sri Affendi Buang (kanan) pada Majlis Serah Terima Tugas Panglima Angkatan Tentera sambil disaksikan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu di Auditorium Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Sebelum dilantik sebagai Panglima TUDM, beliau pernah memegang jawatan penting dalam perkhidmatan itu antaranya, Pengarah Perancangan dan Kontijensi Markas Angkatan Bersama, Ketua Pengarah Operasi dan Eksesais Markas Pemerintahan Operasi Udara, Panglima Operasi Udara dan Timbalan Panglima TUDM.

Beliau dilantik sebagai Panglima TUDM pada 21 Disember 2016 menggantikan Jeneral Tan Sri Roslan Saad.

Sementara itu, Zulkifli dalam ucapannya menzahirkan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, kerajaan serta seluruh warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Terima kasih di atas kepercayaan dan kerjasama yang diberikan kepada selama ini. Sesungguhnya tahun 2019 adalah tahun yang istimewa kepada ATM kerana berjaya melaksanakan pelbagai inisiatif seperti dinyatakan dalam Kad Laporan Kementerian Pertahanan 2019.

“Saya sentiasa mendoakan ATM akan terus berjaya dan berharap seluruh warga ATM memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada Panglima Angkatan Tentera yang baharu,” katanya.

PANGLIMA Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin (kiri) bersalaman dengan sebahagian anggota tentera pada Majlis Serah Terima Tugas Panglima Angkatan Tentera di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

PANGLIMA Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin memeriksa perbarisan pada Majlis Serah Terima Tugas Panglima Angkatan Tentera di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Berita Harian X