Khamis, 2 Januari 2020 | 4:15pm

Bawa pulang ole-ole sempena Tahun Melawat Malaysia 2020

SETIAP kali pulang ke rumah selepas bercuti atau mengembara, sama ada di dalam atau luar negara sudah tentu anda membawa pulang ole-ole atau buah tangan.

Ia seakan satu seni yang menjadi pembuka bicara atau membawa kenangan perjalanan daripada si pemberi dari percutiannya.

Namun, tidak semua gemarkan ole-ole kerana kesukaran mencari barangan sesuai dengan percutian anda. Ada beranggapan mencarinya sahaja, sesuatu merugikan masa ketika bercuti.

Sebagai sebuah syarikat Malaysia yang turut menjaga pintu masuk ke negara ini, Malaysia Airports memperkenalkan Gifts from Malaysia, bertujuan memberi peluang kepada pengunjung membawa pulang produk unik Malaysia di lapangan terbang kendaliannya di seluruh negara.

Selama dua tahun, warga Malaysia Airports giat memperkayakan rasa Malaysia di lapangan terbang kendaliannya agar pengunjung dapat merasai sendiri personaliti unik negara ini ketika di lapangan terbang.

Pegawai Operasi Kumpulan Malaysia Airports, Raja Azmi Raja Nazuddin, berkata Malaysia Airports memilih untuk menggerakkan usaha ini kerana pada masa kini, pengunjung lebih cenderung mencari pengalaman budaya dan sebenar, disesuaikan di lapangan terbang.

“Inisiatif terkini ini bertepatan dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2020. Ini salah satu sokongan kami terhadap aspirasi pelancongan negara ini.

“Kita beruntung kerana Malaysia adalah negara berbilang bangsa dan budaya. Inilah peluang besar untuk kami untuk mempamerkan kehebatan Malaysia di pintu masuk negara ini. Melalui Gifts from Malaysia kami juga boleh memacu pertumbuhan industri kecil tempatan di Malaysia,” katanya.

Malaysia Airports bekerjasama dengan Pusat Pembangunan Rekaan Malaysia (DDEC), iaitu agensi di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar, bagi membantu mendapatkan produk dari semua negeri di Malaysia, selain memastikan setiap produk ini dihasilkan dan dipek secara eksklusif dengan memaparkan elemen atau motif Malaysia.

Setiap produk memiliki ceritanya tersendiri, sekali gus menjadikannya unik dan menarik sebagai hadiah dari Malaysia.

Produk ini boleh didapati mulai Jun 2020 dan akan dijual di rangkaian peruncit Sense of Malaysia dan beberapa rangkaian peruncit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (Kod IATA: KUL), Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (Kod IATA: PEN), Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (Kod IATA: LGK), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (Kod IATA: KCH) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (Kod IATA: BKI).

Raja Azmi berkata, Gifts from Malaysia adalah kesinambungan kepada kejayaan inisiatif Sense of Malaysia seperti ‘Himpun’ di KUL dan LGK yang dianjurkan sejak 2018.

Program ‘Himpun’ mempelawa tetamu menerokai produk kraf unik tempatan melalui penerokaan budaya Malaysia. Ia juga melambangkan komitmen Malaysia Airports dalam menyokong agenda ekonomi nasional dengan menyediakan platform pemasaran dan runcit di lapangan terbang, terutamanya kepada IKS.

Melaluinya, usahawan berpotensi dikenal pasti dengan bantuan beberapa kementerian dan agensi kerajaan seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal-Ehwal Pengguna.

Di bawah inisiatif ‘Sense of Malaysia’, rangkaian peruncit seperti ‘Little Malaysia’ dan ‘Delicacies of Malaysia’ dibuka di Terminal Utama KLIA, klia2 dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

Rangkaian peruncit ini mengkhusus kepada jualan produk Buatan Malaysia kepada pelancong dan pengunjung untuk membeli produk setempat di lapangan terbang.

Di samping itu, beberapa inisiatif lain juga sedang diperkemaskan untuk meraikan Tahun Melawat Malaysia 2020, antaranya pengenalan kepada barangan pelancongan eksklusif yang dijenamakan sebagai Proudly Malaysian.

Sehubungan itu, KUL juga akan menjadi lokasi bagi KUL Biennale 2020, satu acara seni kontemporari berskala mega yang dianjurkan oleh Galeri Seni Visual Kebangsaan.

Sebagai pra pembukaan, susunan seni kontemporari Malaysia akan dipamerkan di semua lapangan terbang antarabangsa di seluruh negara.

Kerjasama ini bukan hanya meluaskan capaian seni tempatan, tetapi memberi peluang dan sokongan kepada penggiat seni dengan menyediakan lokasi pameran yang mudah dikunjungi orang ramai.

Pada masa ini, LGK sedang menganjurkan pameran arca unik yang dibuat menggunakan batu marmar Langkawi yang direka oleh 19 pengukir dari lapan negara mengambil bahagian dalam Kem Seni Marmar Antarabangsa yang dianjurkan di Langkawi pada 30 November hingga 13 Disember 2019.

Terdapat beberapa inisiatif di lokasi ini sebagai sokongan kepada seni persembahan.

Pengunjung boleh menonton previu teater muzikal popular iaitu Puteri Gunung Ledang pada Julai 2020, serta pengaktifan acara sokongan kepada Festival Muzik Dunia Hujan Hujan 2020 di KCH.

“Malaysia memiliki banyak kelebihan kepada pelancong dan inilah tanggungjawab syarikat dalam industri penerbangan seperti Malaysia Airports untuk mempromosikan kemasukan pelancongan ke dalam negara.

“Kami berharap agar tetamu kami akan terus datang melawat Malaysia walaupun selepas kempen ini, untuk mendalami dan mengalami kemesraan hospitaliti rakyat Malaysia.” katanya.

‘Gifts from Malaysia’

Ole-ole Malaysia bukan sekadar buah tangan, bahkan pembuka bicara dengan keunikan kisah setiap barang dari setiap negeri. Dari kraftangan sehingga makanan, setiap satunya membawa ciri Malaysia ke mata dunia.

Selangor - Lepa madu dan biskut kaskas oren Shimmering Starz

Sarat dengan rasa Malaysia. Lepa madu boleh dimakan begitu saja atau dicelup dengan snek. Biskut oren pilihan sesuai minum petang.

Melaka - Gula Melaka dan dodol

Lepa gula Melaka boleh digunakan sebagai ramuan masakan atau manisan sampingan. Dodol popular pada musim perayaan dan memiliki tekstur dan rasa seperti toffee.

Johor - Kuih bangkit, tart nanas dan replika rumah Johor

Kuih bangkit dan tart nanas dinikmati pada musim perayaan dan sepanjang tahun. Ketika dibakar, doh biskut menaik atau bangkit, sekali gus ia diabadikan nama biskut itu. Tart nanas manis dengan rasa mentega dan jem nanas di atasnya. Replika rumah Johor pula memaparkan model berskala sebenar rumah tradisional negeri Johor pada zaman dahulu.

Perlis - Jeruk mangga Harum Manis dan kuih karas

Mangga Harum Manis hanya boleh didapati di negeri Perlis dan jeruknya juga amat popular setanding buahnya. Kuih karas pula ialah snek tradisional wilayah utara yang rangup dan berserbuk.

Negeri Sembilan - Lepa durian, kuih bahulu dan replika rumah Minangkabau

Rakyat Malaysia menggemari durian dan kini boleh didapati dalam bentuk sapuan sebagai isi pastri atau manisan. Kuih bahulu pula ialah kuih tradisional bertekstur lembut, kembang dan manis yang dibuat dengan tiga ramuan sahaja. Untuk melihat rumah tradisional, replika rumah Minangkabau ialah model sebenar yang boleh anda kunjungi.

Perak - Putu kacang, tekat, labu sayong dan replika rumah Perak

Putu kacang dibuat daripada kacang hijau kering hancur dengan gula. Tekat ialah kraf tenun yang dibuat oleh tukang tenun. Labu sayong adalah bekas menyimpan air yang unik manakala replika rumah Perak menggambarkan seni rumah lama di negeri ini.

Kedah - Kuih loyang, produk seramik, produk berasaskan gamat dan replika rumah Kedah

Kuih loyang ialah snek bergoreng dan manis. Produk seramik negeri ini menggambarkan gaya hidup tradisional seluruh negeri ini. Gamat atau timun laut terkenal dengan kebaikan pengubatan mudah diperolehi di pesisir negeri ini. Kehebatan seni bina zaman dahulu dipaparkan dalam replika rumah Kedah.

Pahang - Biskut kelapa dan replika rumah Pahang

Biskut kelapa rangup dan sedap dihidang sebagai snek minum petang. Replika rumah Pahang masih boleh ditemui di kampung sekitar negeri ini.

Pulau Pinang - Kuih kapit

Kuih Kapit ialah snek surat cinta versi Asia yang dibakar secara kapit di atas arang membara.

Kelantan - Serunding, wayang kulit dan replika rumah Kelantan

Serunding dibuat daripada daging ikan, ayam atau lembu yang dihiris, sesuai dimakan bersama nasi, bubur atau roti. Replika rumah Kelantan pula memaparkan kehidupan tradisional rakyatnya. Persembahan wayang kulit berakar dari ajaran Hindu yang telah diasimilasikan dengan kebudayaan tempatan.

Terengganu - Keropok ikan, batik dan replika rumah Terengganu

Keropok ikan ialah snek ikan digoreng rangup yang amat terkenal di negeri ini. Ianya boleh dimakan begitu saja atau dicelup dengan sos atau dimakan dengan nasi. Batik ialah seni tekstil yang dilukis menggunakan lilin dan pewarna. Rumah Terengganu pula unik dengan dua pintu masuk untuk setiap jantina.

Sabah - Kuih cincin

Kuih cincin dibuat secara tradisional hanya di negeri Sabah. Kuih ini digoreng dengan disalut putih dan isi keperangan yang manis. Ia lazimnya dihidangkan semasa musim perayaan.

Sarawak - Pes laksa Sarawak, kek Lapis, beras Bario dan tenunan kraftangan

Pes laksa Sarawak mudah didapati untuk anda sediakan sendiri. Kek Lapis Sarawak terkenal dengan pelbagai warna, rasa dan rekaan unik manakala kraf tenun Sarawak cantik pada rekaan dan memiliki fungsi tersendiri. Beras Bario yang ditanam di pergunungan Bario amat diminati ramai.

Kuala Lumpur

Beg membeli-belah dengan rekaan pemandangan bandaraya Kuala Lumpur dan motif Malaysia daripada botol PET dikitar semula akan menjadi barang kenang-kenangan untuk dibawa pulang oleh pengunjung.

Berita Harian X