Rabu, 1 Januari 2020 | 9:02pm
SETIAUSAHA Kerajaan Negeri, Datuk Razali Ab Malik hadir pada Majlis Perasmian TMM2020 peringkat Negeri Sembilan di Port Dickson, hari ini. - Foto ihsan Lexis
SETIAUSAHA Kerajaan Negeri, Datuk Razali Ab Malik hadir pada Majlis Perasmian TMM2020 peringkat Negeri Sembilan di Port Dickson, hari ini. - Foto ihsan Lexis

Pengendali hotel di NS disaran tawar harga menarik

PORT DICKSON: Kerajaan negeri akan berbincang dengan pengendali hotel di Negeri Sembilan supaya menawarkan harga bilik berpatutan sebagai tarikan sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020).

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Razali Ab Malik, berkata pihak terbabit juga akan diminta menyediakan pakej menarik untuk menggalakkan lebih ramai pelancong ke negeri ini.

“Keadaan ekonomi ketika ini agak mencabar dan itu boleh menjadi cabaran dalam memastikan kedatangan pelancong dari dalam dan luar negara.

“Justeru, kita akan memastikan harga hotel dan penginapan di negeri ini berpatutan selain memperkenalkan pakej menarik dengan harga tidak terlalu mahal sebagai tarikan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian TMM2020 peringkat Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Tengah, Mohd Akbal Setia dan Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Negeri Sembilan, Siti Mazlina Maidin.

Razali berkata, kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM8 juta sebagai persediaan dan promosi TMM2020.

Katanya, peruntukan itu termasuk meningkatkan infrastruktur terutama dalam eko pelancongan selain turut memberi fokus dalam bidang sukan dan makanan di negeri ini.

Sementara itu, Mohd Akbal berkata, kerajaan negeri menyasarkan 70 peratus pelancong asing dan tempatan menginap di hotel di seluruh negeri sepanjang tahun ini.

Berita Harian X