Rabu, 1 Januari 2020 | 10:41am

Tahun Melawat Malaysia 2020 misi nasional - PM

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad mahu seluruh rakyat menerima Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020) sebagai misi nasional dan memainkan peranan masing-masing bagi menjayakannya.

Perdana Menteri berkata, rakyat perlu bersama-sama memainkan peranan supaya sasaran menarik kedatangan 30 juta pelancong antarabangsa dan RM100 bilion pendapatan pelancongan, dapat diraih.

Dr Mahathir juga mengajak segenap lapisan masyarakat di Malaysia ‘merebut’ peluang yang berupaya dimanfaatkan dalam industri pelancongan kerana ia terus melakar pertumbuhan memberangsangkan saban tahun.

Bersandarkan statistik semasa, katanya, prestasi industri pelancongan Malaysia untuk Januari hingga September 2019 menyaksikan kesan amat menggalakkan apabila ketibaan warga asing meningkat 3.7 peratus kepada 20.11 juta orang berbanding 19.39 juta orang bagi tempoh sama 2018.

Perbelanjaan pelancong asing untuk Januari hingga September 2019 pula, katanya, menunjukkan peningkatan 6.9 peratus, iaitu RM66.14 bilion berbanding RM61.85 bilion bagi tempoh sama pada 2018.

PENGUNJUNG menyaksikan pertunjukkan Drone selepas merasmikan Pelancaran Melawat Malaysia 2020 dan Tahun Baru pada program Ambang 2020 @ Kuala Lumpur di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Aswadi Alias
PENGUNJUNG menyaksikan pertunjukkan Drone selepas merasmikan Pelancaran Melawat Malaysia 2020 dan Tahun Baru pada program Ambang 2020 @ Kuala Lumpur di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Aswadi Alias

“Kesan limpahan daripada industri pelancongan amat menyeluruh dan rakyat boleh memilih untuk menceburinya mengikut keupayaan, kreativiti dan cita rasa diri masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan Ambang 2020 serta melancarkan kempen Perdana TMM2020 di Dataran Merdeka, di sini tengah malam tadi.

Yang turut hadir, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohammadin Ketapi.

Kempen TMM2020 yang menjadi simbolik kepada tekad kerajaan mencapai sasaran menarik kemasukan 30 juta pelancong dan menjana RM100 bilion resit pelancongan, terdahulu membuka tirai menerusi ‘persembahan ekstravaganza’, mulai jam 11.30 malam.

Kehangatan suasana di Dataran Merdeka kemudian diwarnai persembahan 300 dron, kendalian tiga agensi kreatif yang melakukan 11 formasi, dengan setiap satunya mempunyai makna tersirat kepada TMM2020.

Dilengkapi kilauan lampu pelbagai warna di segenap penjuru, dron yang dikendalikan menerusi alat kawalan jauh, antaranya membentuk logo TMM2020, sekali gus membentuk lakaran burung enggang dan bunga kebangsaan di langit.

Wau dan beca sebagai keunikan identiti dan tradisi di Malaysia juga dipertontonkan dalam formasi dron terbabit yang berlangsung selama 10 minit, sebaik majlis pelancaran kempen perdana TMM2020 disempurnakan Dr Mahathir.

Sebagai kelaziman tradisi, kemuncak acara iaitu dentuman bunga api yang menyuluh segenap penjuru kawasan Dataran Merdeka pula menyusul tepat jam 12.08 tengah malam, menandakan sorotan pengisian sepanjang 2019 kini menjadi lipatan sejarah.

Melangkah ke 2020, Dr Mahathir berkata, tekad memburu kejayaan diri sendiri adalah mencukupi untuk dijadikan azam tahun baharu, berbanding bergelut memikirkan sasaran yang berkemungkinan sukar untuk dicapai.

“Ini kerana kejayaan setiap daripada kita akan menyumbang kepada kejayaan negara, sebaliknya kejayaan negara tetap akan memberi nikmat kepada setiap orang,” katanya.

PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyaksikan pertunjukan Drone turut kelihatan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (dua kanan), Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi (kiri) dan Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad (kanan) selepas merasmikan Pelancaran Melawat Malaysia 2020 dan Tahun Baru pada program Ambang 2020 @ Kuala Lumpur di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Aswadi Alias
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyaksikan pertunjukan Drone turut kelihatan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (dua kanan), Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi (kiri) dan Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad (kanan) selepas merasmikan Pelancaran Melawat Malaysia 2020 dan Tahun Baru pada program Ambang 2020 @ Kuala Lumpur di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Aswadi Alias
Berita Harian X