Ahad, 29 Disember 2019 | 3:27pm

Pelancong China, India antara paling ramai

JOHOR BAHRU: Kemasukan pelancong dari India dan China dijangka terus kekal tinggi dengan langkah kerajaan memberi pengecualian visa selama setahun bagi pelancong daripada dua negara berkenaan.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Dr Noor Zari Hamat, berkata ia berikutan India dan China adalah antara negara yang menyumbang kemasukan pelancong tertinggi ke negara ini.

Katanya, Singapura dan Indonesia kekal di tangga teratas kemasukan pelancong ke negara ini diikuti China, India dan Thailand.

“Kita jangkakan pelancong India dan China akan kekal tinggi dengan

langkah kerajaan memberi pengecualian visa selama setahun bagi pelancong India dan China.

“Jumlah sebenar kemasukan pelancong termasuk dari India dan China akan diumumkan awal tahun depan namun mengikut data belum dikemaskini, pelancong dari dua negara berkenaan kekal dalam senarai lima pelancong teramai masuk ke negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan pertunjukan fesyen batik Malaysia pada Festival Kraf Johor 2019, di sini, hari ini.

Sementara itu, Noor Zari berkata, sepanjang Festival Kraf Johor ini berlangsung, kementerian menyasarkan jualan kraf sebanyak RM7.5 juta dapat tercapai dengan kehadiran pengunjung melebihi 135,000 orang.

“Penganjuran Festival Kraf Johor 2019 ini bukan sahaja bagi mempromosikan hasil kraf kepada rakyat negara ini malah ia adalah promosi awal hasil kraf negara untuk Tahun Melawat Malaysia 2020.

“Ini berikutan hasil kraf negara menjana pendapatan lumayan berikutan sehingga bulan November lalu, sejumlah RM465 juta nilai jualan kraf seluruh negara berjaya dicapai membabitkan 5,796 orang usahawan kraf yang berdaftar dengan Kraftangan Malaysia.

“Apa yang menarik daripada jumlah ini, sebanyak RM88 juta disumbangkan oleh 162 usahawan kraf di Johor,” katanya.

Noor Zari (kiri) merasmikan Majlis Pelancaran Festival Kraf Johor 2019 di Angsana Johor Bahru. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin
Noor Zari (kiri) merasmikan Majlis Pelancaran Festival Kraf Johor 2019 di Angsana Johor Bahru. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin
Berita Harian X