Khamis, 26 Disember 2019 | 2:32pm
JASNS sudah memeriksa 45 kilang yang menghasilkan buangan pelarut dan minyak sekitar Nilai susulan pencemaran di Sungai Semenyih hingga menyebabkan penutupan LRA sungai itu pada Sabtu lalu. - Foto NSTP
JASNS sudah memeriksa 45 kilang yang menghasilkan buangan pelarut dan minyak sekitar Nilai susulan pencemaran di Sungai Semenyih hingga menyebabkan penutupan LRA sungai itu pada Sabtu lalu. - Foto NSTP

Pencemaran Sungai Semenyih: 45 kilang di Nilai diperiksa

SEREMBAN: Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan (JASNS) sudah memeriksa 45 kilang yang menghasilkan buangan pelarut dan minyak sekitar Nilai susulan pencemaran di Sungai Semenyih hingga menyebabkan penutupan Loji Rawatan Air (LRA) sungai itu pada Sabtu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan, berkata ia sebagai usaha mengesan premis yang bertanggungjawab menyebabkan pencemaran bau itu sekali gus menjejaskan 328,957 akaun pengguna di Selangor.

“Pemeriksaan meliputi semua kilang sama ada berlesen atau tidak. Daripada pemeriksaan yang dijalankan, kita masih belum dapat mengenal pasti (pihak yang bertanggungjawab) dan masih lagi menjalankan siasatan.

“Kita akan teruskan pemeriksaan bagi memastikan bahan tercemar itu hanya dilupuskan di pusat pengurusan sisa di Kualiti Alam Sdn Bhd (Pusat Kualiti Alam),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan JAS pada Selasa lalu bahawa terdapat 46 premis kilang di Nilai yang turut menjadi fokus pemeriksaan jabatan itu susulan pencemaran bau di Sungai Semenyih baru-baru ini.

Media sebelum ini melaporkan bekalan air di empat daerah di Selangor terjejas berikutan masalah pencemaran bau di Sungai Semenyih, Sabtu lalu Lokasi yang terjejas ialah di sekitar Wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang.

Insiden itu menyebabkan LRA Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi terpaksa dihenti tugas sepenuhnya.

Berita Harian X