Selasa, 24 Disember 2019 | 9:36pm

Pesalah buang sisa bayar ganti rugi

KUALA LUMPUR: Gangguan bekalan air yang berulang di Lembah Klang memerlukan tindakan penyelesaian komprehensif membabitkan pindaan undang-undang serta sistem penyaluran yang selamat bagi memastikan tiada pihak melakukan khianat.

Insiden pencemaran bau yang semakin berleluasa ketika ini berpunca daripada kelompangan peruntukan akta sehingga pesalah tidak gerun berdepan denda minimum, berbanding kos melantik pengurusan pihak ketiga.

Kepincangan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) itu memberi laluan segelintir syarikat menjadikan sungai, lurang dan parit sebagai saliran pembuangan sisa tanpa memikirkan impak terhadap bekalan air pengguna serta ekosistem semula jadi.

Mengorak langkah untuk menghentikan insiden sedemikian, Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER), S Piarapakaran, mengusulkan supaya kerajaan memasukkan klausa baharu mewajibkan pesalah membayar ganti rugi setimpal terhadap pengguna dalam peruntukan Akta 127.

Menerusi Seksyen 47, akta yang diwartakan pada 1974 itu hanya memperuntukkan kuasa bagi ketua pengarah menuntut kos dan perbelanjaan membersihkan sebarang pencemaran didalangi pesalah selepas didakwa dan dibuktikan di mahkamah.

“Kita pernah usulkan kepada kerajaan untuk lindungi kepentingan pengguna yang terjejas setiap kali berlaku isu pencemaran sebegini kerana syarikat pembekal dan rawatan air, selain restoran, kilang serta pemilik akaun domestik berdepan kerugian.

“Justeru, perlu ditambah satu subseksyen baharu untuk mewajibkan pembayaran ganti rugi setimpal kepada pengguna setiap kali berlaku isu pencemaran supaya mereka yang sebelum ini tidak gerun dengan undang-undang sebelum ini terpaksa menampung kos lebih tinggi setiap kali melakukan kesalahan.

“Jangan biar pesalah terlepas begitu saja dengan sekadar membayar kos pembersihan dan selang beberapa bulan kembali mengulangi kesalahan,” katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Beliau mengulas kejadian Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih yang terpaksa dihenti tugas sepenuhnya sejak kelmarin susulan pencemaran bau di Sungai Semenyih akibat pembuangan sisa secara haram ke dalam lurang kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Keadaan itu menyebabkan 348 kawasan membabitkan 1.5 juta pengguna di Wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

Mengenai mekanisme penilaian ganti rugi, Piarapakaran berkata ia boleh ditentukan menerusi pengiraan ‘prorata’ bulanan setiap akaun pengguna domestik atau komersial.

Katanya, pembayaran ganti rugi itu boleh disalurkan kepada syarikat pembekalan air sebelum diagihkan mengikut pengiraan prorata kadar penggunaan sebulan yang dikreditkan ke akaun pengguna dalam bentuk rebat.

“Usah beri alasan bahawa perkara ini sukar dilaksanakan kerana ia sangat rumit. Pembayaran ganti rugi berteraskan pendekatan ini akan menjadi mudah jika wujud sistem perakaunan pengguna,” katanya yang menawarkan diri memperincikan mekanisme itu dengan pihak berkenaan.

PENGERUSI Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian, (tiga dari kanan) memantau proses penyedutan bahan kimia berhubung insiden pencemaran bau di Bandar Bukit Mahkota, Bangi. - Foto NSTP/Azhar Ramli
PENGERUSI Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian, (tiga dari kanan) memantau proses penyedutan bahan kimia berhubung insiden pencemaran bau di Bandar Bukit Mahkota, Bangi. - Foto NSTP/Azhar Ramli

Sementara itu, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) meneliti beberapa mekanisme, termasuk memberi ‘imbuhan’ kepada pemberi maklumat, bagi menangani perbuatan membuang sisa haram ke sistem kumbahan.

Pengerusi SPAN, Charles Santiago, berkata adalah mustahil menempatkan anggota pemantau di setiap lurang atau lubang periksa kumbahan daripada disalah gunakan pihak tidak bertanggungjawab.

“Perincian berhubung mekanisme itu akan diperincikan lebih lanjut menerusi mesyuarat bersama Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dan Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK),” katanya ketika dihubungi semalam.

Charles berkata, SPAN perlu bertindak segera kerana ada pihak tidak bertanggungjawab mengambil jalan singkat menjadikan lurang sebagai ‘lubuk’ pembuangan sisa haram.

Katanya, mereka terbabit bertindak sedemikian kerana tidak mahu mengeluarkan belanja menggunakan perkhidmatan pihak ketiga untuk mengurus pembuangan sisa secara teratur.

“Berkemungkinan mereka ada kunci untuk buka manhole (lurang) atau pecahkan sebelum membuang sisa yang akhirnya menyebabkan pencemaran bau.

“Tindakan ini sangat tidak bertanggungjawab, malah menyebabkan kerugian menjangkau berbilion ringgit dan menyusahkan jutaan pengguna yang terjejas apabila operasi perkhidmatan air terpaksa dihentikan,” katanya.

SPAN, dalam kenyataan semalam, turut memaklumkan kertas siasatan berhubung kes pencemaran bau itu akan dihantar kepada pihak pendakwa raya supaya tindakan tegas diambil terhadap pihak yang melakukan perbuatan tidak bertanggungjawab berkenaan menerusi Akta Industri Perkhidmatan Air (Akta 655).

Sementara itu, Pakar Geologi, Prof Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo, berkata pembekal perkhidmatan air bersih perlu mencari pendekatan lebih baik bagi mengelak pencemaran air mentah, sekali gus memastikan bekalan air bersih tidak terjejas.

Beliau berkata, sistem saluran paip terus dari sumber bekalan di empangan ke loji pembersihan air seperti dilaksanakan di kebanyakan negara maju perlu dipertimbangkan bagi mengelak berulang pencemaran air mentah ke LRA.

“Masalah teknikal dalam bekalan air negara sepatutnya sudah lama diatasi. Jika di awal pembangunan atau ketika era pemerintahan British dulu, bekalan air dari empangan ke empat pengambilan adalah melalui kawasan sungai sebelum ia memasuki loji pembersihan.

“Cara ini bertujuan menjimatkan kos selain sistem begini amat sesuai pada waktu itu memandangkan tidak banyak pembangunan berlaku dari kawasan empangan ke tempat pengambilan,” katanya yang dihubungi BH, semalam.

Berita Harian X