Ahad, 22 Disember 2019 | 6:22pm
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Hee Loy Sian, (kiri) pada sidang media di IWK Bukit Mahkota, Bangi mengenai Pencemaran Bau di Sungai Semenyih. - NSTP/Azhar Ramli
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Hee Loy Sian, (kiri) pada sidang media di IWK Bukit Mahkota, Bangi mengenai Pencemaran Bau di Sungai Semenyih. - NSTP/Azhar Ramli

Henti tugas LRA Sungai Semenyih: Lebih 1.5 juta penduduk terjejas

BANGI: Lebih 1.5 juta penduduk terjejas berikutan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dihenti tugas sepenuhnya sejak semalam akibat pencemaran bau di Sungai Semenyih.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Hee Loy Sian, berkata pihaknya menjangkakan masalah air akan pulih dalam masa dua hingga tiga hari sekiranya indikator baharu berada pada paras sifar, hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati bahan dibuang adalah sisa kimia berjadual seperti minyak berwarna hitam dan bahan industri yang berbau di Bandar Bukit Mahkota.

“Operasi pembersihan sisa kimia hingga paras bau mencapai bacaan sifar ton sedang giat dijalankan sejak semalam sebelum air dapat dilepaskan semula ke Sungai Semenyih untuk diproses di LRA.

“Pemantauan serta pensampelan dijalankan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) di Sungai Beranang dan setakat jam 9.30 pagi tadi, paras bau sudah mencapai sifar ton dan diharap berterusan bagi membolehkan air disalurkan semula ke sungai untuk diproses,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Loji Kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) di Bandar Bukit Mahkota, di sini, hari ini.

Loy Sian berkata, IWK dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) akan memantau paras bau supaya air yang disalurkan kepada pengguna mengikut piawaian ditetapkan.

Beliau sekali gus berharap kejadian sama tidak akan berulang sehingga menjejaskan banyak pihak.

“Kerajaan negeri sudah menghantar kertas kerja kepada Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) supaya memasukkan bau sebagai piawaian baharu dalam penentuan bacaan kualiti air yang disalurkan kepada pengguna.

“Setakat ini, sebanyak 366 kawasan membabitkan 336,930 akaun pengguna di Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang terjejas akibat masalah ini,” katanya.

Berita Harian X