Ahad, 22 Disember 2019 | 5:51pm
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Hee Loy Sian (tengah) melihat tempat pembuangan sisa kimia berhubung insiden pencemaran bau di Bandar Bukit Mahkota, Bangi. - NSTP/Azhar Ramli

IWK akan tutup secara kekal semua lurang kumbahan di Bandar Bukit Mahkota

SHAH ALAM: Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) akan menutup (seal) semua lurang kumbahan (manhole) di loji rawatannya di Bandar Bukit Mahkota, Cheras, dekat sini, bagi mengelakkan perbuatan pembuangan sisa secara haram berulang pada masa depan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Hee Loy Sian, melalui perbincangan dijalankan IWK sudah bersetuju untuk menutup semua kira-kira 20 manhole di kawasan terbabit secara kekal.

“Ini adalah untuk mengelakkan sembarangan orang membuka manhole berkenaan. Pihak saya juga akan mengarahkan Majlis Perbandaran Kajang dan IWK mengadakan kawalan 24 jam di tempat keluar masuk kawasan ini.

“Kita juga berharap polis boleh membuat rondaan untuk memastikan kawasan ini tidak lagi diceroboh,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Ketua Penolong Pengarah Lembaga Urus Air Selangor, Nor Zamri Sondor, (kanan) bersama Hee Loy Sian, (kiri) menunjukkan peta kawasan Bandar Bukit Mahkota, Bangi yang terlibat pencemaran bau selepas sidang media di IWK Bukit Mahkota, Bangi. - NSTP/Azhar Ramli

Loy Sian berkata, kawasan di Loji Olahan Air Sisa Kumbahan Bandar Putera Mahkota itu adalah tempat terbiar, namun ada sistem pembetungan dan infrastruktur yang lengkap.

“Tidak banyak rumah dibina di sini, ada kira-kira tiga buah, dan kawasan ini juga bersempadan dengan Negeri Sembilan serta kawasan perindustrian, kita tidak boleh halang mereka masuk ke sini. Bagi masa akan datang, kita bercadang memasang kamera litar tertutup di laluan keluar dan masuk,” katanya.

Semalam, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas sepenuhnya susulan insiden pencemaran bau di Sungai Semenyih. – BERNAMA

Berita Harian X