Sabtu, 21 Disember 2019 | 4:58pm
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke majlis perasmian Kompleks Kehakiman Syariah Negeri Pulau Pinang di sini hari ini. - Foto BERNAMA
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke majlis perasmian Kompleks Kehakiman Syariah Negeri Pulau Pinang di sini hari ini. - Foto BERNAMA

Agong rasmi Kompleks Kehakiman Syariah Pulau Pinang

GEORGETOWN: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke majlis perasmian Kompleks Kehakiman Syariah Negeri Pulau Pinang di sini hari ini.

Seri Paduka berdua diiringi Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Abdul Rahman Abbas dan isteri, Toh Puan Majimor Shariff serta Ketua Menteri Chow Kon Yeow dan isteri, Tan Lean Kee.

Kompleks Kehakiman Syariah Negeri Pulau Pinang yang terletak di Jalan Batu Gantung, di sini dibina pada 2012 dan siap sepenuhnya pada 2016 dengan kos RM32 juta.

Dalam ucapan, Al-Sultan Abdullah bertitah agar usaha meningkatkan dan penyebaran syiar Islam diteruskan dengan sistem yang cukup lengkap supaya Islam dapat menjadi agama yang dipandang tinggi, dicontohi serta dapat bekerjasama erat dengan agama-agama yang lain.

Baginda juga berharap jawatan ketua hakim syarie dan hakim di Mahkamah Syariah dipertingkatkan mengikut kelayakan.

“Kalau kita memperluas status hakim Mahkamah Syariah ke tahap yang tinggi, saya percaya ramai yang berkumpul-kumpul untuk mendapatkan jawatan itu.

“Tetapi kalau kita mengehadkan jawatan ini kepada tahap yang tidak begitu menarik, mungkin jawatan ini akan dianggap sebagai sambil lewa, jawatan yang tidak dapat menaikkan karier mereka sebagai seorang hakim,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah dalam ucapan turut berkongsi pengalaman bertemu dengan Archbishop of Canterbury, Justin Welby ketika lawatan khas ke United Kingdom baru-baru ini, di mana pemimpin utama Gereja England itu melahirkan rasa bangga dengan keharmonian rakyat berbilang kaum dan agama di Malaysia.

“Antara yang kita bincang dan persetujui ialah supaya kita semua harus sentiasa dalam keadaan aman, sentiasa berharmoni dan tinggal dalam hormat menghormati kerana Malaysia sudah dilihat sebagai negara model di mana banyak agama dapat tinggal dalam keadaan cukup sempurna dan cukup harmoni,” titah baginda.

Selepas itu, Seri Paduka berdua berkenan berangkat ke majlis santapan tengah hari di restoran nasi kandar tertua di Pulau Pinang, Restoran Hameediyah, Lebuh Campbell di sini.

Keberangkatan tiba baginda jam 12.30 tengah hari disambut oleh orang ramai yang menunggu di sepanjang jalan berhampiran restoran berkenaan yang teruja melihat pasangan diraja itu buat kali pertama.

Pasangan diraja itu meluangkan masa kira-kira satu jam menikmati juadah di restoran berkenaan. - BERNAMA

Berita Harian X