Jumaat, 20 Disember 2019 | 7:07pm
ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam (APM) membantu penduduk yang terjejas banjir pindah ke beberapa pusat pemindahan sementara mangsa banjir di Tenom. NSTP/Ihsan APM.
ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam (APM) membantu penduduk yang terjejas banjir pindah ke beberapa pusat pemindahan sementara mangsa banjir di Tenom. NSTP/Ihsan APM.

Jumlah mangsa banjir di Sabah berkurangan, 8 PPS ditutup

TENOM: Lapan daripada 15 pusat pemindahan sementara (PPS) di sini ditutup, manakala jumlah mangsa banjir berkurangan daripada 1,755 kepada 819 orang selepas banjir mula surut, petang tadi.

Tujuh pusat pemindahan sementara yang masih dibuka membabitkan Rumah Kebudayaan Ponontomon, Rumah Kebudayaan Pantongan Saga, Rumah Kebudayaan Mandalom Lama, Dewan Sri Antanom, dewan Jiniun Mandalom, Rumah Kebudayaan Batu-Batu dan Desa Sapong Sime Darby.

Lapan pusat pemindahan itu diisytiharkan ditutup secara berperingkat bermula jam 2 petang tadi.

Berdasarkan jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), semua mangsa balik ke rumah masing-masing menggunakan kenderaan sendiri selepas banjir pulih di kawasan penempatan mereka.

Sementara itu, jumlah mangsa yang dipindahkan ke PPS di Kampung Selagon di Beaufort meningkat kepada 215 orang membabitkan 74 keluarga setakat jam 5 petang tadi susulan kenaikan paras Sungai Padas yang mencapai paras bahaya.

Bagi daerah itu, 20 kampung terjejas antaranya Kampung Bakalau; Bakalau Simpang 4; Binunuk; Balibata; Bingkui dan Lumatai di Beaufort.

Selebihnya membabitkan kampung di Membakut antaranya Kampung Lumantak; Baitam; Sinoko; Bambangan; Pusak; Poring; Pekan Lama Membakut dan beberapa kampung lagi.

Sekurang-kurangnya 20 jalan terputus hubungan akibat banjir antaranya Jalan Kampung Bakalau Simpang Empat; Jalan Kampung Binunuk; Jalan Kampung Balibata; Jalan Lintas Pekan; Jalan Kampung Baitam dan Jalan Kampung Jambatan Baru.

Selain Tenom dan Beaufort, banjir turut melanda daerah Kinabatangan dipercayai susulan limpahan paras air di Tenom, sekali gus menjejaskan enam kampung iaitu Kampung Pangkalan Bukit Garam; Barek Manis; Muhibbah Tengah; Danau Ria; Buang Sayang dan Sri Manis.

Bagaimanapun, tiada pusat pemindahan dibuka di kawasan berkenaan setakat ini dengan paras air Sungai Barek Manis serta Pangkalan Bukit Garam masih berada pada paras waspada.

Berita Harian X