Jumaat, 20 Disember 2019 | 3:51pm

Islam akan keciciran jika perpecahan umat berterusan - Agong

GEORGETOWN: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bertitah umat Islam harus bersatu kerana masalah perpecahan sekiranya berterusan akan menyebabkan Islam keciciran.

Titah Seri Paduka, baginda terkesan dengan kebimbangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berhubung perpaduan umat Islam di seluruh dunia yang dinyatakan pada Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019, baru-baru ini.

“Berkaitan perpecahan umat Islam, khususnya di Timur Tengah (Asia Barat), ia sudah menjadi satu gambaran betapa pentingnya untuk kita bersatu. Kita tiada pilihan selain bersatu.

“Apabila kita berpecah, kita tiada hala tuju. Ini yang menjadi kebimbangan Perdana Menteri dan saya secara tidak langsung terasa dengan apa dinyatakan di mana jika perpecahan berterusan, akan menyebabkan Islam keciciran,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika menyampaikan titah ucapan diraja pada Majlis Perasmian Masjid Al Bukhary di Bandar Seri Pinang, di sini, hari ini.

Al-Sultan Abdullah bertitah, sepanjang tempoh memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong, baginda mengambil pendekatan mengenal pasti peranan sebenar sebagai Ketua Agama Islam, khususnya di Pulau Pinang, Melaka, Sabah, dan Sarawak.

“Setiap tiga bulan, kita menganjurkan Majlis Munaqasah di mana kita menjemput semua Majlis Agama Islam bersidang di Istana Negara untuk mereka memberi pendapat dan sehaluan,” titah baginda.

Terdahulu, Seri Paduka tiba di Masjid Al Bukhary kira-kira jam 12.40 tengah hari dengan diiringi Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas, bersama Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Zakiyuddin Abdul Rahman.

Yang turut hadir, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd, dan Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Syed Hussian Syed Junid.

Baginda juga berkenan menunaikan solat Jumaat bersama lebih 2,000 jemaah di sini.

Selepas menunaikan solat Jumaat, Al-Sultan Abdullah berkenan menyampaikan derma kurnia RM5,000 kepada Masjid Al Bukhary, selain sumbangan peribadi kepada semua jemaah kanak-kanak.

Baginda turut berkenan menghadiri Majlis Santapan Tengah Hari bersama rakyat yang diadakan di pekarangan masjid.

Masjid membabitkan kos RM12 juta yang dibiayai sepenuhnya oleh Yayasan Al Bukhary itu dibina dengan berinspirasikan Masjid Nabawi di Kota Madinah.

Masjid yang siap sepenuhnya pada November lalu itu dibina di atas tanah seluas 3.3 hektar dengan dilengkapi pelbagai kemudahan seperti ruang pejabat, bilik mesyuarat dan bilik pengurusan jenazah.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang melakukan lawatan rasmi tiga hari. - Foto BERNAMA
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang melakukan lawatan rasmi tiga hari. - Foto BERNAMA
Berita Harian X