Khamis, 19 Disember 2019 | 6:08pm
PENDUDUK meredah banjir di Kampung Pepuyu. - Foto BERNAMA
PENDUDUK meredah banjir di Kampung Pepuyu. - Foto BERNAMA

Banjir di Kelantan makin pulih

KOTA BHARU: Keadaan banjir di Kelantan semakin pulih apabila bilangan mangsa semakin berkurangan kepada 2,130 orang, setakat jam 5 petang ini, berbanding 3,431 orang, pagi tadi.

Kesemua mangsa daripada 657 keluarga itu ditempatkan di 24 pusat pemindahan sementara (PPS) membabitkan empat daerah iaitu Tanah Merah, Machang, Jeli dan Pasir Mas.

Berdasarkan aplikasi info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), walaupun bilangan mangsa banjir berkurangan, namun mangsa di Pasir Mas terus bertambah kepada 1,298 orang daripada 445 keluarga di sembilan PPS.

Bagaimanapun, mangsa banjir di Tanah Merah, Jeli dan Machang semakin berkurangan.

Tanah Merah merekodkan 500 mangsa daripada 121 keluarga dipindahkan di 11 PPS, manakala Jeli pula mencatatkan 278 orang daripada 78 keluarga ditempatkan di tiga PPS.

Banjir di Machang pula dilihat hampir pulih sepenuhnya apabila baki 54 mangsa daripada 13 keluarga ditempatkan di sebuah PPS iaitu Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Pei Hwa.

Sementara itu, Sungai Golok di Rantau Panjang masih berada di paras bahaya dengan bacaan 10.48 meter.

Mengikut laporan di laman web Jabatan Pengairan dan Saliran, www.publicinfobanjir.water.gov.my, Sungai Golok di Jenob yang berasa paras amaran pagi tadi sudah berubah kepada paras berjaga-jaga iaitu 21.87 meter, manakala bacaan Sungai Kelantan di Kusial masih berada di paras amaran dengan bacaan 14.87 meter.

Sungai Galas di Dabong, Sungai Lebir di Tualang dan Sungai Kelantan di Jeti Kastam pula masing-masing merekodkan 32.88 meter, 28.13 meter, dan 3.04 meter iaitu paras berjaga-jaga.

Berita Harian X