Khamis, 19 Disember 2019 | 1:58pm

Perpaduan, pembangunan penting untuk ummah hadapi cabaran - Agong

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, percaya perpaduan ummah dan pembangunan masyarakat adalah dua pendekatan utama yang boleh diketengahkan untuk menangani cabaran semasa dihadapi umat Islam sejagat.

Al-Sultan Abdullah bertitah, baginda gembira dan bangga dengan kehadiran pemimpin tertinggi, cendekiawan dan pelbagai hadirin ke Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 hari ini, apabila kebersamaan yang ditonjolkan menunjukkan keutuhan perpaduan dalam kalangan umat Islam.

Baginda bertitah, kehadiran umat Islam dari segenap pelusuk negara Islam seluruh dunia juga menggambarkan kekayaan dan kepelbagaian masyarakat sebagai simbol perpaduan di bawah satu bumbung.

“Kita sekarang ini hidup dalam dunia yang kompleks dan penuh dengan cabaran. Bagi beta, perpaduan ummah dan keperluan untuk membawa pembangunan masyarakat adalah dua pendekatan penting untuk menangani cabaran dunia sekarang.

“Kehadiran anda semua hari ini memberi petanda bahawa kita berada di landasan tepat yang semua tercari-cari selama ini.

“Bagi beta, kehadiran anda semua umpama sumber cahaya yang menjadi panduan kita semua dalam membantu mencapai dan berkongsi matlamat serta aspirasi,” titah baginda.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah diiringi Perdana Menteri merangkap Pengerusi Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019, Tun Dr Mahathir Mohamad berkenan merasmikan Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Turut hadir, Setiausaha Agung Sidang Kemuncak Kuala Lumpur ,Tan Sri Samsudin Osman (kiri). - Foto Asyraf Hamzah

Baginda bertitah demikian ketika menyampaikan titah ucapan diraja pada Majlis Pembukaan Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.

Al-Sultan Abdullah bertitah, dalam dunia yang penuh dengan anasir negatif sehingga memecah-belahkan masyarakat, kebencian dan tiada sikap tolak ansur hanya mencetuskan panik selain mengundang tragedi tidak diingini.

Sehubungan itu, baginda menyarankan umat Islam mencermin diri sendiri dan mula mencari landasan sebenar dengan merujuk kepada ajaran Islam sebenar.

Dengan Islam, baginda percaya ia dapat mendorong seseorang bersikap rasional, pemikiran saintifik dan mengukuhkan etika peribadi.

Pada masa sama, baginda mengesyorkan umat Islam menerapkan nilai globalisasi dunia mengikut acuan Islam kerana umat Islam sendiri sudah dapat menyesuaikan diri dengan landskap global.

Dengan penerapan nilai Islam dan globalisasi, titah baginda, ia dapat menambahbaik kehidupan umat Islam dan membina tamadun Islam seperti zaman kegemilangan Islam suatu ketika dulu.

Walaupun ketika ini ada negara Islam yang mempunyai pencapaian hebat, baginda bertitah perjalanan masih jauh dalam kalangan negara Islam kerana wujud pelbagai cabaran rumit bagi negara Islam yang sedang membangun.

“Kebajikan, zakat dan pelbagai cara lagi adalah kunci kepada prinsip Islam yang boleh membantu dan menjadi rujukan untuk tangani cabaran dalam kalangan umat Islam. Tambahan pula, urus tadbir baik akan mengurangkan masalah dihadapi dunia Islam.

“Persoalannya, bagaimana prinsip dalam Islam boleh dimanfaat untuk tujuan pembangunan? Misalnya, beta mahu ambil peluang ini untuk memberi penekanan terhadap kepentingan ‘hiwar’ atau dialog.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (keempat, kiri) dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah (keempat, kanan) dengan pemimpin dan perwakilan tempatan dan antarabangsa yang bergambar kumpulan pada pembukaan Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini. Turut hadir (dari kiri) Presiden Iran Hassan Rouhani, Emir Qatar Sheikh Tamim Hamad Al Thani, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, isteri Perdana Menteri Turki, Emine Erdogan dan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan. - Foto BERNAMA

“Dialog sepatutnya diangkat dan dipromosikan sebagai kaedah untuk memperbetulkan salah faham terhadap Islam. Bukan itu saja, dialog boleh menjadi alat untuk membina persefahaman dan pertalian yang sihat demi menggapai kecemerlangan,” titah baginda.

Baginda bertitah, apabila Islam dapat melaksanakan pendekatan sedemikian, generasi akan datang dapat melaksanakan peranan mereka dengan penuh kebijaksanaan, keberanian dan keadilan dalam dunia moden.

Dengan menggarap nilai Islam dan moden, baginda berharap gabungan antara akses kepada tekonologi komunikasi maklumat serta keupayaan untuk menyerap perbezaan termasuk kepercayaan mempunyai potensi besar untuk menghidupkan zaman emas Islam suatu ketika dahulu.

“Empayar Uthmaniyah memperlihatkan kegemilangan budaya dan seni dengan penekanan terhadap sains dan teknologi di bawah pemerintahan Sultan Sulaiman.

“Di bawah pemerintahan dan pentadbiran Sultan Sulaiman, Istanbul menjadi hebat bukan saja sebagai pusat kebudayaan Islam, tetapi dalam bidang perdagangan, kewangan dan pertukaran.

"Baginda merujuk undang-undang dalam al-Quran untuk bentuk hak terhadap masyarakat mengikut prinsip ditetapkan Islam. Kita patut bersyukur kerana mempunyai sejarah yang cukup kaya dan boleh menjadi rujukan kita sekarang," titah baginda.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah pada Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). - Foto Asyraf Hamzah
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah pada Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). - Foto Asyraf Hamzah
Berita Harian X